Tuesday, May 4, 2010

PR sedia gempur Bagan Datoh


SUNGAI SUMUN , 4 Mei : Pakatan Rakyat (PR) melalui gabungan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sedang merangka strategi serta memperkuatkan jentera pilihan raya mereka untuk menawan Parlimen Bagan Datoh bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup selain mempertahankan DUN Hutan Melintang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh, Misbahul Munir Masduki berkata, gerak kerja akan dimulakan sebaik sahaja hubungan ketiga-tiga komponen PR diperkukuhkan dan menyelaras koordinasi bagi ketiga-tiga parti itu.

Menurutnya, PR akan turun ke peringkat akar umbi untuk menyampaikan maklumat dan mendapatkan maklum balas tentang kehendak sebenar pengundi.

“Kita akui jentera Barisan Nasional (BN) kuat dan strategi yang mereka gunakan juga begitu memberikan cabaran tetapi kita ada strategi tersendiri untuk memastikan ketiga-tiga kawasan ini milik PR.

“Pendekatan yang kita gunakan melalui sentuhan perasaan dan mendekati pengundi dengan lebih rapat khususnya kaum Melayu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Konvensyen PR Parlimen Bagan Datoh di Perkarangan Rumah Ariffin Hussin, Parit 1, di sini, kelmarin.

Hadir sama membentangkan kertas kerja dan menyampaikan pidato pada konvensyen itu, Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Kapten (B) Usaili Alias; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming; Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, S Kesavan; Ketua Cabang PKR Bagan Datoh, Madzi Hasan dan Ketua DAP Bagan Datoh, Lee Chu Soi.

Misbahul berkata, bagi meningkatkan undi Melayu di Bagan Datoh agak sukar tetapi yang pasti PR akan mengekalkan undi kaum itu sedia ada selain memastikan pengundi Cina dan India memihak kepada mereka.

Sementara itu, Madzi berkata, PR perlu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang dijangka akan diadakan dalam masa tujuh bulan lagi.

Menurutnya, kemenangan BN di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil, baru-baru ini tidak boleh menjadi penanda aras bahawa sokongan BN sudah meningkat.

“Pada PRU 13, PR yakin akan mendapatkan Parlimen Bagan Datoh dan DUN Rungkup selain mempertahankan DUN Hutan Melintang melalui gerak kerja bersama ketiga-tiga komponen PR,” katanya.

Manakala, Chu Soi berkata, PR Bagan Datoh kini semakin kuat dan perwakilan yang turut serta dalam konvensyen itu akan bekerja keras untuk memastikan BN tewas di Bagan Datoh.SH

No comments: