Monday, June 21, 2010

Tidak layan cabaran murahan Khairy


SHAH ALAM , 21 Jun : Cabaran yan:g diberikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan bukti UMNO terlibat memberi RM2 juta kepada wakil rakyat bebas dianggap sebagai satu cabaran murahan.

Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusoff berkata, Anwar tidak akan menyahut cabaran tersebut kerana beliau jelas mengatakan akan mendedahkan bukti tersebut pada waktu dan tempat yang sesuai.

“Hari ini terdapat banyak lagi isu lain yang lebih penting dari isu-isu murahan seperti ini, oleh itu saya seru kepada seluruh pemimpin politik negara supaya meninggalkan politik murahan yang tidak menguntungkan rakyat.

“Cabaran Pakatan Rakyat (PR) supaya Rancangan Malaysia Kesepuluh dibahaskan di Parlimen untuk untung nasib negara dan masyarakat lebih penting dari cabaran murahan Khairy,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ditanya mengenai kepercayaan ahli parti terhadap Anwar, Yusmadi menjelaskan isu ini tidak akan menggugat kesetiaan ahli PKR.

Kelmarin, Khairy memberi tempoh 48 jam kepada Anwar untuk mengeluarkan bukti bahawa wakil rakyat yang keluar dari PR menerima imbuhan sebanyak RM2 juta dan cabaran tersebut berakhir hari ini.

Sementara itu, Yusmadi turut menegur gabungan Konsensus Bebas yang terdiri dari ahli parlimen bebas supaya kekal kepada prinsip mereka yang asal iaitu berjuang untuk rakyat dan bukannya menimbulkan isu-isu murahan.

“Mereka dibentuk demi rakyat, bukannya untuk serang orang lain, oleh itu sila kekal kepada prinsip asal,” katanya.

Konsensus Bebas terdiri dari Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri.

Ahli-ahli konsensus ini terdiri dari bekas Ahli Parlimen PKR dan mereka sering bertembung dengan pemimpin PR dalam banyak isu sehingga mereka digelar ‘askar upahan BN’.

No comments: