Monday, June 21, 2010
Tidak setuju pindah parlimen
ALOR SETAR , 21 Jun : PAS tidak bersetuju dengan cadangan memindahkan Parlimen ke Putrajaya, termasuk mengubah suai bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai Parlimen yang baru dan kekal.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, bangunan Parlimen sedia ada perlu dikekalkan dan hanya dibuat pengubahsuaian, memandangkan bangunan itu adalah warisan negara yang perlu dihormati.
Katanya, cadangan kerajaan untuk membina bangunan Parlimen yang baru adalah tidak praktikal kerana membabitkan peruntukan yang besar, iaitu RM800 juta berbanding pemulihan bangunan Parlimen sedia ada hanya sekitar RM200 juta.
“Pas bersetuju untuk pindah sementara ke PICC atau mana-mana tempat, tetapi tidak setuju jika pindah terus. Sebelum ini, saya sendiri menghadiri satu pameran Jabatan Kerja Raya berhubung pembinaan blok bangunan baru di belakang Dewan ini, malah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, cadangan memindahkan bangunan Parlimen ke Putrajaya adalah tidak wajar memandangkan kawasan sekitar Parlimen luas dan dapat menampung pembinaan bangunan baru di tapak sedia ada.
“Seperti ada agenda tertentu pula apabila ada pihak beria-ia mahu dipindahkan ke Putrajaya. Saya bimbang kelak, tapak warisan itu dimusnahkan dengan projek pembangunan oleh pihak yang rakus mencari keuntungan,” katanya.
Mahfuz berkata, beliau kesal kerana cadangan itu mungkin diusulkan untuk menyelamatkan PICC daripada menjadi satu lagi projek gajah putih yang terbukti merugikan rakyat dan negara.
“Apabila bangunan PICC tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan, cadangan dibuat untuk memindahkan Parlimen ke situ. Jangan hanya kerana kegagalan pengurusan PICC, Ahli Parlimen yang menerima akibatnya,” katanya.
Menurutnya, sekiranya benar pengurusan PICC gagal mengurus mercu tanda itu dengan baik, seeloknya pengurusan terbabit ditukarkan, dan bukannya mencari helah dengan menempatkan Parlimen di situ secara kekal.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment