Monday, July 19, 2010
Buktikan ADUN BN tidak terima elaun
PARIT BUNTAR , 19 Julai : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat dicabar membuktikan kenyataannya bahawa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dinafikan hak dan tidak menerima sebarang elaun ketika Pakatan Rakyat (PR) memerintah.
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad berkata, ADUN itu sepatutnya berhati-hati membuat kenyataan untuk memburuk-burukkan pemerintahan PR di Perak.
Menurutnya, jika wakil rakyat BN tidak menerima sebarang pembayaran bermakna elaun untuk wakil rakyat tiada.
“Beliau perlu buktikan wakil rakyat BN tidak menerima elaun ini kerana kenyataan beliau menggambarkan kerajaan PR menzalimi mereka dengan tidak memberi sebarang elaun,” katanya.
Hamdan berkata, sebelum ini kerajaan PR juga dituduh tidak menjemput wakil rakyat BN menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Daerah.
“Sedangkan, ADUN Alor Pongsu dijemput ke mesyuarat itu. Surat jemputan pun masih ada dalam simpanan. Namun, apabila rampasan kuasa berlaku, wakil rakyat PR pula tidak dijemput menghadiri mesyuarat ini.
“Apa yang berlaku bukan gimik politik untuk meraih simpati rakyat,” katanya.
Katanya, walaupun dinafikan peruntukan wakil rakyat PR di Parit Buntar, mereka tetap berusaha membantu rakyat.
“Tuduhan ADUN Alor Pongsu bahawa kami hendak meraih simpati rakyat, menutup kesalahan dan membuat dakwaan provokatif adalah tidak benar.
“Saya harap ADUN Alor Pongsu menumpukan usaha menolong rakyat di kawasannya kerana masih ramai rakyat di kawasan itu memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini bertujuan menyangkal tuduhan Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abd Raman Suliman bahawa tiada perubahan dilakukan PR terhadap pembangunan di Parit Buntar.
“Sepatutnya tuduhan itu ditujukan kepada kerajaan BN yang memerintah negeri dan pusat bukan kepada PR.
“Beliau perlu sedar ketiga-tiga wakil rakyat PR di Parit Buntar dinafikan peruntukan pembangunan yang sepatutnya diterima untuk membantu rakyat,” katanya.
Hamdan turut meminta kerajaan BN mendedahkan kepada rakyat di Parit Buntar ke manakah peruntukan ini disalurkan.
“Kami dapat banyak aduan daripada penduduk berkenaan permohonan membaiki jalan kampung yang menyatakan jawapan yang diterima mereka adalah peruntukan tiada,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment