Monday, July 19, 2010
Mufti kena berkecuali
ALOR SETAR, 19 Julai : Mufti disarankan supaya tidak mencampuri urusan politik dan lebih sesuai bersikap berkecuali dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh pemimpin politik.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, penyertaan golongan itu dalam perbincangan politik tidak sesuai dan perlu dielakkan.
“Eloklah masing-masing menjaga skop kerja masing-masing. Biarlah orang politik bertelagah sesama mereka dalam isu-isu semasa, manakala mufti hanya memfokuskan kepada isu-isu agama. Bak kata pepatah, gajah sama gajah bergaduh, jangan pelanduk mati tersepit di tengah-tengah,” katanya pada sidang media, selepas melancarkan kempen Perlembagaanku peringkat negeri Kedah, di Kolej Universiti Insaniah, semalam.
Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menjadi perantara bagi pertemuan pemimpin Pas-UMNO demi perpaduan umat Islam.
Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, golongan mufti tidak seharusnya campur tangan dalam hal-hal berkaitan politik, kerana mereka harus memberi keutamaan kepada isu agama, terutama berkaitan fatwa.
"Masalah dalam isu fatwa dan agama Islam pun masih banyak belum selesai, eloklah bagi tumpuan. Politik jangan dikacau. Mufti lebih elok jaga peranannya yang sebenar, cukuplah,” katanya. SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment