Wednesday, July 21, 2010

Kecuaian hospital dikesali



MEDAN ISTANA , 21 Julai : Keengganan sebuah hospital kerajaan di satu daerah merawat wanita warga emas sejak Mac lalu menimbulkan persoalan, kerana baru-baru ini dia dikesan menghidap kanser usus selepas menjalani pemeriksaan di sebuah klinik swasta di daerah yang sama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II, Dr Khairuddin Abd Malik mendakwa, wanita berusia 64 tahun itu cuba mendapatkan rawatan di hospital berkenaan setelah mengalami sakit perut, cirit birit dan buasir pada Mac lalu.


Menurutnya, kedatangan warga emas itu ke hospital terbabit tidak diendahkan menyebabkan dia terpaksa pulang ke rumah dengan perasaan kecewa.

“Difahamkan, sebanyak tujuh kali mulai Mac hingga Julai wanita terbabit ke hospital yang sama namun tidak diberikan rawatan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Khairuddin berkata, wanita itu sekali lagi ke hospital terbabit untuk mendapatkan rawatan tetapi hanya dimasukkan ke wad selepas didesak ahli keluarga.

“Pada 4 Julai lalu, wanita terbabit dimasukkan ke wad untuk menjalani pemeriksaan namun dibenarkan keluar pada sebelah petang kerana keputusan pemeriksaan kesihatannya adalah normal.

“Tiga hari kemudian, warga emas itu datang ke klinik saya untuk mendapat kepastian akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pemeriksaan yang dijalankan hospital berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selepas pemeriksaan awal dijalankan warga emas terbabit didapati menghidap kanser usus dan penyakitnya sudah merebak ke hati.

“Warga emas itu dibawa ke salah sebuah hospital di Ipoh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Khairuddin berkata, satu persoalan timbul mengapa warga emas terbabit tidak diperiksa dengan teliti oleh pihak hospital berkenaan.

“Di barat, pesakit seperti itu layak untuk mendapat pampasan akibat kecuaian hospital namun di sini masih belum dilaksanakan.

“Sepatutnya perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku namun disebabkan kecuaian pihak hospital warga emas itu terpaksa menderita menghadapi kanser usus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap hospital lain mengambil langkah berhati-hati apabila berhadapan dengan pesakit manakala Kementerian Kesihatan (KKM) harus memantau segala aktiviti dijalankan hospital supaya kecuaian yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan.SH

No comments: