Thursday, July 1, 2010
Lesen judi sukan adalah idea Umno
CHEMOR , 1 Julai : Sebelum ini negara digemparkan dengan tindakan kerajaan meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010.
Pada 26 Jun lalu, kerajaan membuat keputusan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik daripada pelbagai pihak.
Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri (PM) adalah atas bantahan rakyat terhadap polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa tidak telus.
Menurutnya, ia jelas menunjukkan lesen judi sukan adalah idea UMNO.
“Kita amat hairan mengapa isu itu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan bukannya diputuskan melalui Dewan Rakyat sedangkan ia adalah keputusan kerajaan.
“Tindakan itu, seolah-olah UMNO yang mencetuskan perkara itu dengan berbincang sesama sendiri dan kita boleh melihat siapakah yang cuba menggadaikan nasib rakyat dengan menguntungkan syarikat gergasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis 'Selamatkan Malaysia' di Kampung Baru Kuala Kuang.
Boon Chye berkata, beliau hairan mengapa polisi kerajaan yang mampu menjejaskan kehidupan rakyat tidak pernah disoalkan.
“Kerajaan pada hari ini dilihat selalu mengamalkan ‘flip-flop policy’ yang tidak meyakinkan rakyat malah ia mencerminkan budaya yang tidak sihat apatah lagi keputusan yang dibuat banyak kesan negatifnya,” katanya.
Boon Chye berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman yang dibuat PM berkaitan isu berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagaimanapun, PM dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment