Thursday, July 1, 2010

World Cub di markas

IMG_2048.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 2 Julai :
Dewan Pemuda PAS Parit Buntar telah menyediakan layar besar yang menayangkan siaran langsung perlawanan Piala Dunia 2010 di Markas PAS Parit Buntar, Titi Serong.

Pengerusi Lujnah Sukan dan Rekreasi Sahrin Mohd Daud berkata, dinding putih dijadikan layar besar membolehkan golongan muda dan peminat sukan bola sepak berkumpul untuk menonton kejohanan tersebut.

“ Layar besar disediakan bagi memenuhi cita rasa golongan muda yang inginkan kepuasan menonton kejohanan di Afrika Selatan.

“ Sambutan yang diterima amat meriah dan memberangsangkan. Peminat bola tidak kira tua muda datang kerana kita tidak melihat kepada soal politik. Sesiapa pun boleh datang" katanya

Beliau berkata , program tayangan perlawanan siaran langsung di markas berkenaan diadakan sejak bermula pusingan kedua Piala Dunia 2010 bertemakan “ Kami Suka Bola, Tak Suka Judi”

“ Kami hanya menyediakan tayangan setiap malam untuk perlawanan jam 10.00 malam.

“ Mungkin jika ada permintaan peminat bola di sini, perlawanan separuh akhir dan akhir yang berlangsung pada jam 2.30 pagi akan diadakan “ katanya kepada pemberita Sinar Harian selepas perlawanan antara Paraguay dengan Jepun malam tadi.

Sahrin berkata, pihaknya turut menjalankan kempen mendaftar pengundi sebagai program sampingan.

"Selain ingin membiasakan orang muda dengan markas PAS, sesiapa yang belum mendaftar sebagai pemilih juga kita akan daftarkan," katanya

Sementara itu, seorang peminat bola Shapie Muhammad dari Parit Kasa memuji langkah yang diambil Dewan Pemuda PAS Parit Buntar yang memahami kehendak pemuda di Parit Buntar.

“ Pemuda PAS faham cita rasa orang muda, mereka bukan sahaja bercakap tetapi laksanakan program untuk orang muda.

“ Tengok bola ramai-ramai di markas lebih selesa dan rasa puas hati, ada juga dijual teh tarik murah dan makanan ringan untuk dikunyah” katanya

No comments: