Wednesday, July 14, 2010

Mansuhkan saman ekor, susahkan rakyat



KUALA LUMPUR, 14 Julai :
Kerajaan digesa memansuhkan saman ekor oleh Polis DiRaja Malaysia kerana membebankan pemilik kenderaan ketika mahu memperbaharui cukai jalan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tindakan PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan menghalang pemilik yang belum membayar saman ekor daripada memperbaharui cukai kenderaan hanya akan membawa masalah sosial baru.

"Kalau JPJ tak bagi, mereka ini akan mula membuat cukai jalan palsu dan memandangkan ada begitu banyak yang dihalang daripada memperbaharui cukai jalan, sudah tentu kebanyakan mereka ini terpaksa mencari alternatif lain. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan aktiviti membuat cukai jalan palsu berkembang dan menular," tegas beliau pada sidang media di parlimen Isnin lalu.

Tambah Mahfuz lagi, cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan mencari cara lain untuk mengutip saman ekor.

"Kerajaan Umno-BN perlu memikirkan cara lain untuk mendapatkan bayaran saman ekor kerana sekatan memperbaharui cukai jalan jelas bukan satu alternatif yang baik. Jangan kerana mahukan wang lebih, kita berdepan dengan masalah lebih banyak pemilik mendapatkan cukai jalan palsu. Akhirnya wang pun tak dapat, wang cukai jalan yang patut kerajaan dapat pun tiada," kata beliau.

Katanya, kerajaan Umno-BN patut memansuhkan terus saman ekor dan membatalkan semua tuntutan bayaran saman tersebut kerana ia merupakan satu bentuk saman yang tidak dapat dibuktikan dan tidak boleh dijustifikasikan.

"Kalau kerajaan Umno-BN boleh berbelanja berbilion untuk kapal selam yang masih tak boleh menyelam, apa salahnya korbankan sedikit untuk memenangi dan memberikan ketenangan kepada rakyat," tegas Mahfuz lagi.

No comments: