Tuesday, July 13, 2010

Bantah FBI bersidang di Kuala Lumpur















KUALA LUMPUR, 14 Julai: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah keras persidangan agensi perisik Amerika yang akan diadakan di Garden and Residences, Mid Malley, dekat sini pada 18 hingga 23 Julai ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, maklumat itu diperoleh daripada laman web FBI National Academy Associatites untuk Asia Pasifik yang diketuai oleh presidennya, SAC 1 Datuk Shahbudin Abdul Wahab.

"Teras membantah dengan keras persidangan ini diadakan di Malaysia yang melibatkan sebuah agensi risikan Amerika yang jelas mempunyai rekod menjadi dalang dalam pelbagai konspirasi untuk menjatuh pemimpin-pemimpin negara yang tidak sebulu dengan Amerika," katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, perhubungan FBI National Academy Associates dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 1964 apabila SAC Kassim Ali menghadiri sesi FBI NAA itu buat kali ke-74 .

Sejak itu katanya, 58 pegawai polis kanan dari PDRM telah menghadhiri kursus yang dianggap sangat istimewa, antara yang turut hadir ialah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar, kecuali 16 orang , yang lain dikatakan sudah bersara.

Mohd Azmi berkata, pihaknya amat kesal apabila mengetahui Malaysia telah menjalinkan hubungan kepolisian dengan FBI yang membuktikan perhubungan seperti ini dilakukan tanpa pengetahuan dan perbahasan di kalangan rakyat mahupun di Parlimen.

Justeru, Teras mendesak kerajaan menjelaskan kepada umum rasional mereka menjalinkan hubungan dengan FBI dan mahu kerajaan segera menghentikan perhubungan dengan FBI.

"Teras mendesak agar pihak kerajaan menjelaskan apakah rasional perhubungan PDRM dengan FBI selama ini, sejauh mana maklumat keselamatan negara diserah kepada FBI dan berapa perbelanjaan yang terlibat dalam latihan pegawai PDRM di FBI.

"Teras juga menuntut agar pihak kerajaan menghentikan perhubungan dengan FBI," katanya.

Menurut Mohd Azmi juga, Shabudin dalam kata-kata aluannya menyatakan bahawa persidangan itu disebut sebagai simbol kuasa dan hubungan rapat yang dapat dijalinkan dengan PDRM melalui FBI NAA Asia pasifik.

Persidangan berkenaan dipercayai ditaja oleh beberapa pihak termasuk Permodalan Nasional Berhad, Tourism Malaysia dan Public Bank Berhad.

Tegasnya juga, kerajaan bersikap hipokrit apabila menyatakan kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan Amerika.

"Tidak ada gunanya kerajaan menyatakan Malaysia mempunyai kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan kuasa perisik Amerika yang mempuyai agenda untuk mengawal pengurusan keselamatan negara.

Sebagai sebuah agensi perisikan Amerika yang utama selain CIA , katanya pelbagai rekod operasi melibatkan penyeludupan agen-agen perisik di seluruh dunia dilaksanakan untuk kepentingan Amerika.

Dua agensi paling berkuasa di Amerika iaitu FBI dan CIA terkenal di Amerika sendiri sebagai agensi yang merosakkan hak individu, hak kebebasan bersuara dan hak memilih pemimpin yang semuanya dilakukan atas nama keselamatan nasional.

Oleh itu, sejarah Amerika sarat dengan skandal yang dikaitkan dengan dua agensi itu termasuk insiden asasinasi Kennedy, kegagalan membunuh Fidel Castro; bom Oklahoma City; pembunuhan beramai-ramai Waco Texas dan 9/11.hrkh

No comments: