TEMERLOH, 16 Ogos : Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman memfailkan saman malu sebanyak RM20 juta berhubung penahanannya yang didakwanya tidak sah Mac lalu.
Mazlan menamakan empat defendan berhubung penahanannya ketika membuat lawatan di Felda Lembah Klau, Raub pada 9 Mac lalu.
Empat defendan terbabit – kerajaan Malaysia, Felda, pengurus Felda Lembah Klau Sungai Ruan Awang Sulong dan Inspektor Mohd Azran Rahmat – pegawai polis yang menangkapnya.
Mazlan yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.
Ahli jawatankuasa PAS pusat itu dalam samannya mendakwa defendan ketiga (Mohd Azran) melakukan penahanan yang salah terhadap plaintif bagi tempoh 9 Mac hingga 11 Mac lalu.
Beliau menuntut deklarasi bahawa perintah reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Raub bertarikh 10 Mac terhadap plaintif (beliau) adalah cacat, salah dan tidak sah.
Mazlan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub 9 Mac lalu turut membuat laporan berikutan tindakan pengurusan Felda yang cuba menahannya.
Katanya, nilai saman itu bukan menjadi persoalan namun reputasinya tercalar ekoran insiden itu.
"Ini bukan soal nilai tetapi keadilan dalam memperjuangkan hak kami sebagai peneroka.
Reputasi dan maruah saya dah tercalar. Mereka tidak hormati hak dan kebebasan saya.
"Dan saman ini bawa maksud para peneroka tidak takut untuk memperjuangkan hak mereka," katanya yang dihubungi FMT.
Dilaporkan Mazlan ditahan satu hari untuk disiasat kerana dakwaan menceroboh Felda Lembah Klau.
Mazlan difahamkan membuat lawatan ke Felda berkenaan untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.
Felda fail saman RM 200 juta
KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Felda memfailkan kes saman fitnah terhadap enam pihak termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung tulisan Suara Keadilan pada Jun lalu mendakwa agensi persekutuan itu akan muflis.
Turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib, penulis Rusnizam Mahat, pencetak Pelita Koridor Sdn Bhd dan penerbit NPK Sdn Bhd.
Peguam Datuk Hafarizam Harun berkata anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd juga adalah plaintif bersama.
Saman itu difailkan melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3 petang ini.
Dalam penyataan tuntutannya, Felda selaku plaintif, yang diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel itu bertarikh 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010 terhadap Felda.
Felda mendakwa artikel pertama bertajuk “Felda Bankrap” dan artikel kedua berserta gambar bertajuk “Kontroversi” dan “Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu” berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.
Felda turut mendakwa pihak defendan dengan sengaja menerbitkan artikel berunsur fitnah itu dengan tujuan untuk memusnahkan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda sekaligus menyebabkan kerugian yang besar kepada lembaga itu.
Selain menuntut ganti rugi RM200 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan dan teladan, plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah secara lisan di media cetakan atau Internet.
Felda juga menuntut pihak defendan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos dan relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.
Selain itu, Felda juga menuntut faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi dari tarikh saman itu difailkan sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment