Monday, August 16, 2010
Petisyen online sokong Dinar Kelantan
KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Satu petisyen online telah dibuka bagi menarik sokongan rakyat negara ini terhadap penggunaan dinar emas dan dirham perak Kelantan yang menjadi pertikaian hangat pada waktu ini.
Petisyen tersebut dikumpul melalui laman www.ipetitions.com/petition/dinarkelantan yang dibuka sejak semalam.
Menurut tulisan tertera di petisyen tersebut, ianya dianjur oleh dinarkelantan.com.my, bagaimanapun carian server web tersebut di internet tidak dijumpai.
Difahamkan petisyen online ini dibuat ekoran timbul usaha pihak kerajaan pusat mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan kerana mengeluarkan mata wang sendiri.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein sebelum ini mendakwa hanya kerajaan persekutuan melalui Bank Negara Malaysia mempunyai hak mutlak untuk mengeluarkan matawang dan kerajaan negeri adalah tidak berhak.
Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini telah menafikan penggunaan emas dinar dan dirham perak yang dikeluarkan negeri itu sebagai matawang secara mutlak.
Tetapi menurutnya, kerajaan negeri mengisytiharkan ianya sebagai medium perniagaan yang diterima di beberapa kedai yang berdaftar dengan pihak yang berkaitan.
Dalam pada itu, Husam melalui blognya www.husammusa.com juga turut mengulas perkembangan terbaru kerajaan pusat tersebut.
Beliau mempertikai kenapa isu penggunaan kedua dua wang tersebut kini dijadikan isu besar.
"Kenapa Awang Adek (juga terutamanya Tun Mahathir) yang sebelumnya pernah memuji pengenalan semula dinar emas tiba-tiba telah menayangkan urat-sarafnya (muscles) sebagai Timbalan Menteri Kewangan apabila pihak di Kelantan memasyhurkan apa yang pernah Awang Adek sendiri puji?" soalnya.
Menurutnya, sehingga kini belum ada pihak yang mendakwa yang kepingan syiling emas dan perak yang diperkenalkan oleh Kelantan itu sebagai mata-wang secara mutlak atau matawang alternatif.
Sebaliknya, ianya diisytiharkan sebagai medium perniagaan yang diterima di beberapa kedai yang berdaftar dengan pihak yang berkaitan.
"Kalau kepingan emas dan perak ini sah diperlakukan dalam jual-beli di kedai-kedai tersebut itu salah dan melanggar peraturan kewangan negara, bagaimana pula dengan kupon pasaria yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan pertubuhan di semerata negara?
“Kupon itu telah dijual oleh pihak penganjur dan kemudiannya dengan kupon itu boleh dibeli barangan-barangan di gerai-gerai yang terlibat dengan pasaria tersebut. Sejak sebelum merdeka lagi amalan ini telah dijalankan, kenapa Awang Adek membiarkannya?
"Atau umpama saya saya membeli di Tesco, akhir bulan saya menerima kupon yang mempunyai nilai ringgit untuk sebarang pembelian atau potongan harga untuk pembelian barangan tertentu. Apakah amalan ini juga mengikut Awang Adek hendaklah mendapat kelulusan Bank Negara?" soalnya lagi.
Menurutnya, Awang Adek dan Bank Negara sepatutnya berusaha untuk menandingi kerajaan Kelantan dengan mengeluarkan syiling emas dan perak yang lebih standard daripada Kelantan, paling kurang dengan rekabentuk yang lebih menarik dan mempunyai ukuran berat yang lebih pelbagai.
Tambahnya, dengan berbuat demikian, barulah terserlah kerajaan pusat sebagai kerajaan yang lebih berwawasan daripada kerajaan Kelantan.
"Marilah kita berkerjasama di dalam perkara kebaikan dan kita kita hindari perkara dosa dan permusuhan. Insya Allah Awang Adek akan bersetuju dengan saranan saya ini," katanya sinis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment