Monday, August 2, 2010

PR tidak berebut



ALOR SETAR , 2 Ogos : Masih terlalu awal untuk membuat spekulasi siapakah dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang akan diberi tanggung jawab sebagai Perdana Menteri, sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bukan soal jawatan tertinggi itu yang harus diberi keutamaan, sebaliknya sokongan rakyat dan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang harus dititikberatkan.

“Apa jua keputusan kelak, eloklah tunggu keputusan pilihan raya umum akan datang. Sekiranya Pakatan Rakyat menang, barulah kita boleh bincang isu ini. Masih terlalu awal untuk diputuskan,” katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung jawatan Perdana Menteri lebih sesuai digalas calon dari parti PAS berbanding Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya sokongan rakyat memihak kepada PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, PR juga harus melihat penerimaan rakyat terhadap pemimpinnya sebelum memutuskan siapa yang layak menerajui Putrajaya.

“Elok bincang kemudian. Spekulasi awal tidak baik dalam politik. Yang harus diberi keutamaan sekarang ialah semua pemimpin dan ahli PR mesti kerja kuat untuk menang dalam pilihan raya umum,” katanya.

Azizan berkata, bagaimana pun pemimpin PR tidak perlu bergaduh sesama sendiri bagi merebut jawatan tertinggi itu, sebaliknya dibuat secara perbincangan.

Kelmarin, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PR sebulat suara bersetuju memilih Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya sokongan berpihak kepada mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pemilihan itu diputuskan seawal pilihan raya 1999, sejak gabungan parti pembangkang antara tiga parti dipanggil Barisan Alternatif.

Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PR tidak pernah berbincang mengenai calon selain Anwar sekiranya parti itu menang pilihan raya akan datang kerana misi utama mereka ialah menumbangkan BN terlebih dahulu. SH

No comments: