SHAH ALAM, 2 Ogos : Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menegaskan negeri Selangor sekarang ini tidak mempunyai tanah untuk dibangunkan, akibat dibolot oleh pemimpin Barisan Nasional(BN) ketika mentadbir kerajaan negeri terdahulu dengan memberi tanah-tanah tersebut kepada kroni.
Menurutnya, tindakan kerajaan BN semasa pentadbiran Datuk Seri Dr Khir Toyo jelas menjejaskan Selangor dan kehidupan rakyat kerana hak milik tanah yang diberikan kepada kroninya langsung tidak dimajukan.
Beliau berkata, walaupun ada perumahan dibangunkan oleh kerajaan BN terdahulu, ia adalah tidak wajar kerana perumahan itu terlalu kecil dan sempit untuk didiami oleh satu keluarga yang berpendapatan rendah.
"Saya sedih melihat keluarga miskin di Selangor sekarang ini mendiami rumah yang sempit, bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan dalam satu keluarga.
"Ini semuanya akibat tindakan BN membina rumah sempit dan kecil tanpa memikirkan masa depan rakyat.
"Kontraktor BN minta kontrak bernilai jutaan ringgit dari kerajaan untuk membangunkan perumahan baru, tetapi kos sebenar pembinaan perumahan itu hanyalah memerlukan jumlah yang kecil,"katanya dalam ceramah ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ semalam.
Hasan yang juga merupakan Adun Gombak Setia berkata, Selangor akan terus mengalami masalah untuk dibangunkan berikutan tanah yang mempunyai potensi besar tidak berjaya diambil alih oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat(PR) kerana ia masih menjadi hak milik individu terbabit.
"Masalah kerajaan negeri Selangor bukan sahaja isu pasir dan air tetapi juga melibatkan isu tanah yang menjadi masalah utama kepada kerajaan negeri untuk diselesaikan.
"Isu ini semua berlaku disebabkan oleh kerajaan terdahulu pimpinan Dr Khir yang meninggalkan masalah kepada kerajaan negeri hingga sekarang ini,"katanya.
Tambah beliau, skandal kerajaan negeri Selangor telah lama berlaku sejak ditadbirkan oleh BN, tetapi BN sekarang ini sengaja menyalahkan kerajaan PR untuk mengelak segala kesilapan mereka.
No comments:
Post a Comment