Wednesday, August 11, 2010
'Roadshow' Umno Selangor tidak dapat sambutan
SHAH ALAM , 12 Ogos : Fasa pertama “roadshow” UMNO Selangor dengan tema “Selamatkan Selangor Darul Ehsan” didakwa gagal dan tidak mendapat sambutan rakyat jelata di negeri ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, beliau yakin rakyat Selangor sudah serik dengan tindak-tanduk dan gelagat kepimpinan UMNO yang ternyata sangat mengecewakan mereka sehingga memungkinkan rakyat bangkit menolak UMNO/Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun 2008 yang lalu.
Menurutnya, ini ternyata UMNO sudah hilang sokongan rakyat apabila “roadshow” mereka sekadar menarik minat saki-baki ahli tegar UMNO serta kanak-kanak yang diupah mengibarkan bendera dan sepanduk.
“Sejak kehilangan kuasa di Selangor, UMNO sudah tidak mampu lagi menarik minat rakyat untuk keluar beramai-ramai meraikan program mereka dan ini terbukti dengan kehadiran kecil rakyat sepanjang “roadshow” mereka itu.
“PAS Selangor mendapati rakyat di negeri ini kini berpuas-hati dan selesa dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang jujur mengurus dan mentadbir negeri ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Roslan berkata, program kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya menawan hati rakyat.
Katanya, ini termasuklah bekas penyokong UMNO khususnya apabila melihat juga merasai sendiri betapa nasib dan kebajikan mereka selama 52 tahun lalu terabai di bawah UMNO/ BN kini dibela dan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.
“Di Selangor, UMNO kelihatan kehilangan sokongan rakan mereka, MCA dan MIC yang langsung tidak terlibat dalam “roadshow” ini sekali gus membuktikan betapa BN Selangor sudah tidak mampu bangkit lagi setelah ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu.
Sehubungan itu, PAS Selangor mengajak rakyat di negeri ini agar terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada PR Selangor dan bersama menyelamatkan negeri ini dari jatuh kembali ke tangan pimpinan pincang yang selama 52 tahun telah mencabul amanah rakyat Selangor.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment