Wednesday, August 11, 2010
Tarik balik senarai hitam hanya sementara
PUTRAJAYA, 11 Ogos: Kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.
Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya dari PAS sendiri.
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (gambar) bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan bergerak ke seluruh negara bagi menentangnya.
Pada 5 Ogos lepas, beliau bersama rakan-rakannya ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.
Namun, hanya setiausaha akhbar menteri berkenaan bertemu dengan mereka.
Jawatankuasa berkenaan juga telah mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.
"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.
"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.
"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," kata Mahfuz pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini 2 Ogos lepas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment