Sunday, September 19, 2010
PKR tak berpecah
SHAH ALAM, 20 Sept. : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Selangor menafikan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli parti berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, beliau yakin dengan ahli PKR namun tidak menolak bahawa setiap ahli akan memihak kepada calon yang disokong mereka.
Menurutnya, apa yang berlaku semasa kempen pemilihan mesti dilupakan demi kebaikan parti secara keseluruhannya.
“Ini tidak dapat dielakkan tetapi saya harap kempen oleh calon adalah kempen yang bersih. Jika ini tidak berlaku maka ia akan memberi kesan kepada hubungan di antara ahli selepas pemilihan PKR.
Iskandar turut mengingatkan pemilihan ini amat penting bukan hanya kepada PKR tetapi PR kerana selepas pemilihan pimpinan, beliau berharap ahli PKR dapat memberi tumpuan kepada tugas besar di hadapan mereka selepas ini.
“Jangan akibat dari kempen itu mereka melalaikan diri daripada matlamat untuk merampas Putrajaya di samping mempertahankan negeri-negeri yang sedang diperintah,” katanya.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, situasi pemimpin mempunyai penyokong masing-masing adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik.
Bagaimanapun katanya, dalam PKR ia adalah sesuatu yang baru yang tidak pernah diamalkan oleh parti politik yang lain di Malaysia.
Malah katanya, ia adalah suatu proses pemilihan yang menarik dan mampu mencerminkan proses pemilihan yang lebih demokrasi.
“Dengan kekuatan dalaman yang ada pada PKR, saya rasa mereka akan dapat menempuhi dengan baik. Dan saya harap ahli diberi ruang untuk memilih pemimpin yang terbaik.
“Apa yang penting, dalam parti politik yang dewasa adalah bagaimana mereka menanganinya selepas berakhir proses pemilihan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah turut berkongsi pandangan sama dengan Roslan dan Iskandar malah yakin hubungan setiap ahli akan lebih kukuh.
“Pada pendapat saya, parti PKR adalah satu parti yang matang. Jadi saya nampak, dalam proses pemilihan ini adalah berdemokrasi.
“Saya tidak nampak ia akan menyebabkan perpecahan dalam parti mereka dan menyambut baik serta menyokong cara demokrasi yang digunakan dalam pemilihan parti itu,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment