KUALA LUMPUR 19 Sept. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap pemimpin Umno-Barisan yang tidak menginsafi serta prihatin kepada kesusahan rakyat terutamanya umat Islam yang menjalani ibadah puasa dan menyambut Aifilfitri dalam keadaan terpaksa menghadapi bebanan kenaikan harga barangan.
Anwar berkata bagi golongan elit pemerintah ibadat puasa tidak diambil sebagai iktibar untuk insaf dan bertaubat malah terus menerus merompak hak rakyat.
"Hari Raya kita tengok semangat kerjasama antara rakyat berbilang kaum, yang berpuasa orang Islamlah, tetapi yang menjamu selera melibatkan semua kaum, ini satu budaya yang bagus. Keadaan ini kita lihat berbeza dengan parti pemerintah di mana yang susah adalah rakyat tetapi yang kaya dan kenyang pemimpin di atas.
"Apabila kita berpuasa iaitu tidak makan, minum serta menjada disiplin agar kita insaf. Dalam Al Quran Allah memerintahkan berpuasa seperti mana umat sebelum ini melakukannya. Ini bermaknanya puasa ini diamalkan oleh semua agama sebelumnya - Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu ada puasa masing-masing dan dalam Islam juga ada puasa dengan peraturan tertentu.
"Untuk apa kita berpuasa? Untuk jadi baik, insaf serta ingat bahawa kita adalah hamba Tuhan. Orang yang susah ramai jadi apabila kita berpuasa kita ingat akan mereka.
"Tapi sesetengah orang puasa tapi makan rasuah juga, puasa tapi balak rakyat ambil juga. Berpuasa matlamatnya hendak jadikan manusia baik, supaya insaf, jangan ambil harta orang, jangan cukai, jangan bebankan harga minyak naik. Setahun sekali bagi RM100 seorang kepada orang miskin tapi dia (Umno-BN) ambil RM10 juta," kata Anwar ketika berucap semasa menghadiri jamuan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Batu di Dewan Komuniti Bandar Baru Sentul petang semalam.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengkritik konsep 1Malaysia kepunyaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap mendiskriminasi rakyat kepada dua golongan yang berbeza.
"Tak usah propagandalah 1Malaysia. 1Malaysia bagi yang kaya lagi kaya dan bagi rakyat ada 2Malaysia - satu untuk orang kaya di atas dan satu untuk yang di bawah. 1Malaysia di satu pihak ambil, angkut, kaut kekayaan dan 1Malaysia yang satu lagi rakyat kena bayar cukai," ujar beliau.
Anwar juga menyentuh dua laporan ekonomi badan antarabangsa yang telah meletakkan Malaysia dalam tahap yang memalukan.
"Dua laporan ini mengejutkan dan berbeza dengan apa yang di cakap oleh Perdana Menteri. Dia kata tidak ada masalah, rakyat bagus dan semua cukup makan, hari raya semua datang makan, ekonomi bagus, rakyat suka. Siapa cakap? Menteri Kewangan dan Rosmah tapi laporan World Economic Report mengatakan daya saing Malaysia jatuh lagi.
"Rumusan Merill Lynch mengatakan tarikan Malaysia habis, tidak ada tarikan lagi, jatuh teruk. Bila jatuh orang tidak melabur, maknanya kerja kurang dan pengangguran meningkat.
"Minyak untung satu tahun RM70 bilion tapi harga minyak tetap naik. Bila kita tanya Menteri dia kata naik sikit sahaja. Sikit bagi orang kaya yang gaji RM100,000 sebulan, naik RM1 tidak ada apa-apa kesan, bagi yang gaji RM1,000 sebulan naik RM10 ada kesan. Sebab itu kalau nak jadi ketua kena fikir rakyat terbanyak, tengok rumah mereka, tengok tempat permainan mereka, tengok surau tempat ibadat mereka, tengok sekolah mereka, bukan sekolah untuk anak-anak orang besar, bukan rumah orang besar duduk. Baru boleh aman dunia ini," jelas beliau lagi.
No comments:
Post a Comment