Thursday, November 25, 2010
40,000 risalah tolak pembohongan media Umno
ALOR SETAR , 25 Nov. : Risalah untuk menjelaskan situasi sebenar banjir terburuk yang melanda Kedah awal November lalu diedarkan kepada orang ramai bagi menangkis dakwaan pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri ‘lepas tangan’ dalam isu berkenaan.
Pegawai Khas (Penerangan) kepada Menteri Besar, Musoddak Ahmad berkata, risalah empat halaman itu antara lain memperjelaskan tindakan Kerajaan Negeri ketika berdepan bencana itu, termasuk perancangan yang dibuat ketika dan selepas banjir.
“Kita mahu rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku, terutama apa yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dalam menangani banjir. Ini secara tidak langsung menjawab semua tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurutnya, turut dimuatkan petikan ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menjelaskan secara terperinci berhubung isu banjir.
Musoddak berkata, sebanyak 40,000 risalah diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah dicetak dan akan diedarkan dalam masa terdekat.
“Risalah ini akan diedarkan ke setiap pejabat daerah dan pusat khidmat wakil rakyat selain boleh diperoleh di pejabat urusetia penerangan. Kita harap rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab, dan mendapat gambaran sebenar mengenai penglibatan aktif Kerajaan Negeri ketika bencana berlaku,” katanya.
Menurutnya, Urusetia Penerangan turut menghasilkan cakera padat (CD) penjelasan isu banjir untuk diedarkan ke pusat khidmat wakil rakyat sebagai rujukan.
“Hampir 2000 keping CD 18 minit itu akan ditempatkan di pusat khidmat wakil rakyat untuk tatapan umum,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment