Thursday, November 25, 2010

Jangan jumpa BN , berita bohong jadi betul











ALOR SETAR, 25 Nov. : Ahli Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi mengingatkan pemaju perumahan di negeri ini supaya datang menemuinya

jika timbul sebarang masalah berhubung perumahan, khususnya isu berkaitan kuota perumahan 50-50.

Ketika menjawab soalan yang ditimbulkan oleh YB. Lee Guan Aik (DAP-Kota Darul Aman) yang bertanya sama ada ‘70-30’ (70 peratus wajib dijual kepada Bumiputera) menjadi dasar baru Kerajaan Negeri bagi tanah Simpanan Melayu yang diswapping, Dato’ Ir. Phahrolrazi menegaskan bahawa, "ia bukan dasar baru Kerajaan Negeri."

“Sewaktu kita tangguh swapping untuk bincang formula terbaik ada pemaju yang nak segera (kelulusan) tak mahu swapping, ada yang buat rayuan mencadangkan sendiri 70 peratus jualan untuk Bumiputera, masuk (mesyuarat) Exco kita timbang walaupun sepatutnya kita tak timbang,” ujar Phahrolrazi sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah di Persidangan DUN Kedah baru-baru ini.

Apa pun situasinya, kata beliau, kuota 50-50 jualan rumah bagi Tanah Simpanan Melayu yang diswapping jadi tanah pegangan bebas kekal menjadi dasar perumahan Kerajaan Negeri kini.

“Kalau sekiranya berlaku syarat-syarat yang tidak memuaskan hati yang diuruskan oleh pegawai saya, dia (pemaju) boleh jumpa Exco tak ada masalah, jumpa saya, patut mengadu kat saya kalau ada apa-apa persoalan, pi jumpa pembangkang heboh dalam akhbar buat apa?

“Apa-apa hal pun pemaju ada peluang buat rayuan, mahkamah pun ada (benarkan) rayuan, mengapa perkara ini mesti jadi isu politik oleh parti politik hingga (bertukar) jadi isu perkauman?” soal Phahrolrazi.

Berhubung kesan terhadap ekonomi akibat penangguhan projek perumahan akibat isu swapping, beliau menjelaskan bahawa kesannya amat kecil. Jumlah projek yang terbabit dalam permohonan swapping ini adalah kira-kira 40 projek sepanjang tahun 2008 hingga 2010, iaitu hanya 10 peratus dari keseluruhan projek.

Sektor pembinaan, katanya, hanya menyumbang 2.8 peratus dari KDNK, itu pun aspek pembinaan dalam semua bidang bukan perumahan semata-mata.

Menurut beliau lagi, swapping dibuat berdasarkan keperluan yang ditentukan kerajaan bukan atas kehendak pemaju. “Ia cuma satu pilihan bukan mandatori (kerajaan mesti buat),” terangnya.

Menurut Dato’ Phahrolrazi, bukan semua Tanah Simpanan Melayu swapping ke pegangan bebas tertakluk kepada syarat kuota 50-50. Bagi tanah Simpanan Melayu yang dimiliki bukan Bumiputera, jika berlaku swapping ia masih mengikut kuota lama iaitu hanya 30 peratus jualan wajib untuk Bumiputera.

Baginya, isu kuota 50-50 ini adalah persoalan kecil yang sengaja diperbesarkan, kerana ia hanya melibatkan jumlah tanah yang sedikit berbanding tanah pegangan bebas yang lebih besar dengan unit rumah yang lebih banyak.

“Memang kita akan terus buka banyak tanah free hold untuk semua kaum, tidak ada masalah,” ujarnya.

No comments: