Friday, December 10, 2010

Ambil iktibar hasil kajian UM


















SHAH ALAM, 10 Dis. : Hasil kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) perlu diambil iktibar dan positif bagi mengukuhkan Parti Keadilan Rakyat(PKR).

Bagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar faktor masa memainkan peranan penting dalam melakukan apa jua soal selidik kerana ia bakal mempengaruhi jawapan yang diberikan oleh responden yang ditemuduga.

"Saya rasa masa kajian itu dibuat juga menyebabkan keputusan sedemikian. Jadi kadangkala, perlu diambil kira dalam satu fasa yang berlangsung," kata Izzah, mengulas hasil kajian UMCEDEL yang mendapati 49 peratus hilang keyakinan terhadap PKR ekoran kemelut yang melanda parti itu.

Justeru menurut Izzah, beliau lebih setuju sekiranya tarikh kajian itu dibuat ialah selang beberapa lama selepas proses Pemilihan PKR 2010 yang dicemari dengan serangan Umno-Barisan Nasional(BN) yang diperhebatkan lagi oleh media-media arus perdana.

Kajian yang dilakukan UMCEDEL pada 19-21 dan 27-28 November lalu mendapat liputan yang meluas dari media arus perdana.

" Titik kajian bila ia diambil, siapa yang diambil, dan dibandingkan dalam tempoh dua minggu selepas. Tentunya dengan kemelut dan serangan bertubi-tubi di media massa itu menjadikan satu persepsi agak negatif bagi parti," tambah Izzah lagi.

Mengambil positif dan berlapang dada terhadap mana-mana pihak yang membuat kaji selidik berhubung perjalanan parti itu membawa arus perubahan, Izzah bagaimanapun tegas dengan pendiriannya, bahawa sekiranya kajian dilakukan selepas Kongres PKR ke-7 lalu, hasil kajian pastinya lebih positif.

"Saya yakin dengan kongres parti yang baru berlangsung dengan pimpinan yang baru dilantik, ada ruang untuk kita perbaiki dan perjelaskan pendirian parti terutamanya tawaran kita, kejayaan kita, memegang tampuk pemerintahan di Selangor misalannya," ujarnya.

"Jadi keputusan itu mungkin akan menjadi objektif lagi, kalau keputusan itu kita ambil dalam masa sebulan dua bulan, dan ia menjadi persepsi postif terhadap parti," ujar Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tambah beliau lagi, apa yang perlu dilakukan oleh parti kini dalam mengharungi serangan demi serangan yang dilakukan oleh media milikan Umno-BN ialah dengan menjadikan segala kritikan dan tohmahan sebagai pemangkin kepada kejayaan parti itu di masa depan.

"Apa yang boleh kita buat sekarang ini ialah, ambil sebagai peluang untuk memperbaiki gerak kerja, promosi kejayaan-kejayaan kita yang banyak di negeri Selangor dan negeri-negeri lain," kata beliau lagi.

Sementara itu, seorang Naib Presiden parti itu, Tian Chua pula mahu anggota PKR mengambil sebarang teguran mahupun hasil kajian mana-mana pihak sebagai iktibar untuk terus memperjuangkan misi parti.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Batu, walaupun berdepan dengan pelbagai halangan termasuk serangan media arus perdana, ia bukanlah faktor yang bakal meruntuhkan semangat juang ahli parti dan rakyat yang setia bersama PKR.

"Kita ambil ini sebagai satu iktibar, kita akan memperbetulkan keadaan. Kita menyedari bahawa kita menghadapi serangan media yang kencang dari Umno-Barisan Nasional tetapi ini tidak menghalang kita untuk berusaha untuk terus memperjuangkan agenda perubahan," kata Tian ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR merupakan parti yang memimpin budaya politik baru di Malaysia malah merupakan satu-satunya parti yang berani berhadapan dengan risiko serangan Umno-BN.

"Walaupun menyedari akan risiko yang bakal dihadapi oleh parti apabila mengadakan pemilihan menggunakan sistem 'satu anggota satu undi' sebelum ini, namun PKR realisitik bahawa pemilihan tersebut penting dalam memastikan parti bakal mengangkat pimpinan parti yang berkualiti tinggi," katanya yang juga Pengarah Komunikasi PKR.

Tambahnya, walaupun proses pemilihan mencabar, proses tersebut juga perlu bagi memastikan kualiti kepimpinan dan mengurangkan risiko politik wang.

Hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya mendapati 49 peratus responden hilang keyakinan terhadap PKR setelah pelbagai kemelut melanda PKR, selain kehilangan beberapa ahli yang sengaja diperhebatkan oleh media arus perdana.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: