Friday, December 10, 2010

SPRM gagal bila rakyat tak percaya

















SHAH ALAM, 10 Dis. : Pendedahan Global Corruption Barometer 2010 oleh Transparency International hari ini bahawa majoriti rakyat Malaysia percaya rasuah berleluasa di negara ini mendapat perhatian pemimpin Masyarakat.

Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0), Datuk Ambiga Kesavan menganggap hal rasuah di negara ini bukan lagi satu gurauan dan tiba masa tindakan serius perlu diambil oleh semua pihak.

Beliau menganggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibentuk tahun lalu sebagai gagal dan tidak efektif.

Ia bukan lagi satu gurauan. Korupsi di negara ini bukan lagi satu gurauan. Ia bukan sesuatu yang kita boleh main-main lagi. Jika tidak benar-benar serius menanganinya, ia akan memusnahkan negara.

"Fakta mereka (SPRM) gagal dan tidak mampu mengurangkan kadar jenayah menunjukkan SPRM tidak efektif," Ambiga menyatakan demikian ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Mengikut Global Corruption Barometer itu, 46 peratus percaya amalan rasuah tahun ini adalah lebih tinggi daripada tahun lalu manakala 19 peratus berpendapat ia telah berkurangan dan 35 peratus lagi pula berkata keadaan tidak berubah.

Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata pasukan polis paling terjejas dengan gejala rasuah dan diikuti dengan parti politik, badan perundangan dan parlimen.

Mereka mencatatkan mata 4.1, 4.0 dan 3.4 masing-masing pada skala 1 hingga 5, dengan 5 sebagai yang paling terjejas akibat rasuah.

Ambiga bertegas supaya SPRM bertindak mengikut cara kerja Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang benar-benar telus dan berjaya menurunkan kadar rasuah dalam masa tiga tahun sahaja.

Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia kesal dengan tidakan SPRM dan Peguam Negara kurang mengejar pesalah yang jelas atau mereka yang berpangkat tinggi dan hanya mengejar ikan bilis sahaja.

"Pada pendapat saya, tidak kisah ia(rasuah) bertambah teruk atau berkurang pada tahun ini berbanding tahun lalu. Kadar korupsi di negara kita masih di tahap tinggi.

"Ada tanggapan bahawa SPRM tidak bebas kerana ia tidak mengejar pesalah yang jelas," jelasnya.

Sentimen sama dikongsi oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo'lo' Mohd Ghazali yang mengaitkan reaksi rakyat ini dengan kurangnya tindakan kerajaan membanteras gejala itu.

"Kita lihat program kerajaan sebelum ini tiada langsung meyeru ke arah 'good governance' dan sebagainya. Saya rasa apa yang dikatakan oleh rakyat itu juga kebanyakannya hanya sampai ke meja AG(Peguam Negara) sahaja. Dari meja AG mungkin terlalu lambat atau berpilih-pilih," jelasnya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan betapa Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) ini tidak akan berubah berdasarkan cara pemerintahan mereka sebelum ini.

Justeru beliau menyeru rakyat Malaysia yang telah sedar untuk bertindak menggunakan kuasa mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi mengubah keadaan ini.

"Jadi sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan. Ini saja cara rakyat untuk mengajar dan memastikan kuasa itu kembali ke tangan rakyat. Kalau terus sahaja sokong walau ada kepincangan, kerajaan tidak akan berubah. Dan apabila Umno-BN terus memerintah, keadaan tidak akan berubah perkara sama juga akan berlaku," jelasnya.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: