Wednesday, December 8, 2010

Najib ada motif tangguh pemilihan



ALOR SETAR, 7 Dis. : Penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan dikatakan bukan untuk mengukuhkan jentera dan kekuatan parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, sebaliknya dipercayai mempunyai agenda tersembunyi.

Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah, Senator Ir Zamri Yusuf berkata, ada kemungkinan kepimpinan tertinggi UMNO tidak mahu jawatan Presiden parti yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mana-mana pihak, selain untuk mengukuhkan kedudukan beliau yang diibaratkan sebagai baru setahun jagung memimpin UMNO.

“Jika dikaji dari pelbagai aspek, kita boleh lihat seolah penangguhan dibuat untuk agenda lain. Mungkin juga ini antara langkah yang mereka yakini berkesan untuk mengelak berlakunya perebutan jawatan dalam parti, terutama jawatan Pengerusi Negeri,” katanya.

Ir Zamri yang juga bekas Pengerusi PKR Kedah berkata, matlamat utama UMNO adalah untuk mengukuhkan kedudukan Najib, bukannya mengukuhkan jentera atau kekuatan parti, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, baru-baru ini.

“Penangguhan ini juga bererti kedudukan Najib diutamakan, supaya tiada pihak yang mencabar kedudukan beliau. Saya simpati pada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penyokongnya kerana terpaksa batalkan hasrat untuk menunjukkan kekuatan dan sokongan mereka dalam kalangan ahli parti,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Ahmad Bashah pula kini semakin goyah kerana beliau langsung tidak berpeluang menunjukkan kekuatannya, kerana dibayangi pengaruh bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Saya lebih simpati pada Ahmad Bashah kerana tiada peluang untuk menonjolkan diri bahawa dia lebih popular berbanding Mahdzir. Nampaknya sukar untuk Ahmad Bashah mengekalkan kedudukan jika pelantikan terus jawatan itu dibuat Presiden, kerana diyakini lebih memihak pada Datuk Mohd Johari Baharum atau Datuk Seri Jamil Khir Baharom,” katanya.

Ir Zamri berkata, penangguhan pemilihan juga adalah jalan terakhir untuk UMNO membendung pertelagahan dan perebutan kuasa dalam parti, serta jalan singkat untuk menyelamatkan ‘orang kuat’ Presiden daripada disaingi.SH

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: