Monday, December 6, 2010

Najib memang terdesak



KUALA LUMPUR, 6 Dis. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terhadapnya oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sebagai tindakan terdesak untuk mengalih pandangan terhadap isu kepincangan kerajaan.

Menurutnya, serangan berkenaan bukan gaya Najib dan ini seolah-olah memberi petanda yang jelas mengenai pelancaran 'perang' dalam menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Jelas sekali Najib seperti terdesak dan merasa terkepung walaupun seluruh instrumen kekuasaan dalam kerajaan telah diarahkan terhadap saya dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Tapi di sini, isunya adalah Perdana Menteri yang menggunakan polis, kehakiman dan media untuk melancarkan serangan peribadi yang teruk terhadap saya dan pemimpin PR,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga turut menempelak ucapan Najib pada Konvensyen BN, kelmarin, bahawa wujud nepotisme dalam PR.

"Nepotisme sebenarnya turut berlaku kepada Najib sendiri yang memperoleh kuasa sebagai Perdana Menteri kerana ayahnya bekas Perdana Menteri.

“Jadi bagi Najib bercakap seperti itu, dalam fikiran saya sungguh mengejutkan,” katanya.

Anwar juga menyangkal dakwaan Najib yang menuduh pembangkang sebagai 'anti-nasional' dan mempersoalkan apakah perjuangan untuk memerangi rasuah dan perkauman dianggap 'anti-nasional'.

“Kami bahkan menyerahkan diri pada Perlembagaan. Semua tiga parti dalam PR menandatangani kenyataan, menyerahkan diri untuk jaminan keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Anwar menambah bahawa dengan menolak konsep Ketuanan Melayu, tidak bermakna dia bersikap 'anti-Melayu'.

Dalam sidang media yang sama, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau setuju dengan Anwar bahawa tindakan Najib melakukan serangan terhadap pembangkang adalah tanda jelas bahawa Perdana Menteri merasa cemas berikutan sokongan padu rakyat kepada PR.SH

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: