Thursday, December 16, 2010

Tragedi hitam parlimen : PR semakin kukuh, rakyat kembali menyokong PR membenci BN




Analisa Semasa:
Hari ini menjadi sejarah baru bagi Dewan Rakyat di dalam menghadapi keributan kepartian yang melampau apabila masing-masing menunjukkan kuasa dengan akhirnya pihak pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) mengenakan hukuman gantung enam bulan kepada empat orang ahli Parlimennya dari Pakatan Rakyat(PR). Keputusan diambil atas dasar demokrasi menggunakan undian siapa lagi ramai sama ada BN atau PR untuk berbuat demikian.

Di antara keempat-empat mereka itu adalah ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman di atas pendedahan beliau mengenai APCO Worldwide yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan dipengaruhi oleh faktor ’Yahudi’ dan Zionis.

Selain Anwar, Ahli Parlimen R. Sivarasa (PKR-Subang), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) turut digantung selama enam bulan berhubung kesalahan menghina Dewan Rakyat dengan mendedahkan prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mendengar kes Anwar-APCO.

Usuk-usul berkaitan penggantungan itu telah dikemukakan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan semua ahli parlimen pembangkang telah bertindak memulaukannya dengan dengan keluar dewan selepas usul pertama menggantung Anwar diluluskan Dewan Rakyat.

Kemudian usul kedua adalah untuk menggantung ketiga-tiga mereka telah dibahaskan dan seperti dijangkakan terus mendapat sokongan penuh oleh ahli-ahli parlimen BN dan wakil-wakil Bebas dari Semenanjung Malaysia. Mereka yang digantung itu didapati tidak berada di Dewan Rakyat ketika usul menggantung ketiga-tiga mereka dibahaskan oleh sebelah pihak sahaja.

Ibrahim Ali (ahli Parlimen Bebas-Pasir Mas) yang terlibat di dalam perbahasan usul itu pula mahu media memainkan peranan untuk memperjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini sebaik mungkin bagi membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap Anwar dan pakatan pembangkang.

Walaupun Ibrahim yang juga Presiden Perkasa dikatakan tidak memihak sesiapapun tetapi menurut seorang penganalisa politik, Ibrahim dikatakan semakin terdesak untuk berbuat ’baik’ dengan Barisan Nasional terutamanya Umno kerana beliau dilihat seperti berharap untuk kembali sebagai calon BN jika masih ada ihsan dari pucuk pimpinan UMNO jika ingin bertanding semula di Pasir Mas nanti andai benar pilihanraya umum ke-13 sudah bakal menjelma.

Namun begitu, Ibrahim dilihat juga cuba mengenengahkan hak Anwar untuk membela diri beliau atas dakwaan yang dibuat ke atas Najib supaya perbicaraan yang adil dan telus diberikan kepada Anwar.

Beberapa penganalisa politik yang dihubungi mengenai kejadian terbaru di Dewan Rakyat itu, rata-ratanya kesal dengan jentera kerajaan pemerintah yang disifatkan sebagai ’tersilap langkah’ di saat-saat mereka kini semakin kuat dan kembali diterima rakyat. Kejadian ini sebenarnya memberi peluang kepada PR untuk ’memanaskan’ semula perjuangan rakyat yang bakal memberi tenaga semula kepada sokongan ke atas PR daripada rakyat dengan mengenengah penggunaan kuasa yang ada pada BN untuk membalas ’dendam’ kepada PR dan lupa akan tanggungjawab mereka kepada rakyat sebagai pemerintah yang adil.



Mereka memberitahu bahawa dalam masa beberapa bulan lalu, sokongan ke atas PR dilihat semakin lemah ekoran masalah dalaman PKR dan pentadbiran negeri-negeri di bawah PR seperti majlis tempatan, banjir dan air. Justeru, sokongan ke atas Najib dilihat meningkat semula dengan penambahbaikan program transformasi ekonomi dan sosial.

Namun kini para penganalisa melihat tahap sokongan kembali kepada BN nampaknya akan terjejas kerana kini PR mempunyai sebab dan isu untuk dipanaskan terutamanya di dalam mengembalikan sentimen rakyat bagi melihat salah guna dan ketidaktelusan kerajaan BN hari ini yang lebih suka mempergunakan kuasa untuk dendam dan bukannya menyelesaikan masalah rakyat sebelum membawa negara menghadapi pilihanraya umum yang baru.

Dalam lain perkataan, keadaan sentimen dan senario rakyat mungkin akan kembali seperti tahap Pilihanraya Umum ke -12 pada tahun 2008 selepas episod hitam di Dewan Rakyat hari ini. Dan yang pastinya senjata PR kini ialah memainkan sentimen dan perasaan rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu bahawa Najib mengikut telunjuk Yahudi dan APCO pasti mampu meningkatkan semula sokongan dan simpati orang Melayu pada tahap semasa PRK Bukit Gantang beberapa bulan BN merampas negeri Perak.

Nampaknya PR sudah kembali dalam permainan dan Najib perlu resah tersilap langkah. Mungkinkah PRU13 tidak pada tahun depan tetapi tahun 2013 bagi perbaiki semula kesalahan Najib hari ini laksana ’setitik nila habis susu sebelanga’?

1 comment:

Anonymous said...

Il semble que vous soyez un expert dans ce domaine, vos remarques sont tres interessantes, merci.

- Daniel