Thursday, December 16, 2010

Tukar tajuk Sejarah Malaysia kepada Sejarah Umno

Subjek Ulangan Sejarah SPM Hanya Sia-sia Jika Fakta Salah














SHAH ALAM, 16 Dis. : Usaha kerajaan untuk memupuk dan memotivasikan rakyat negara ini tentang sejarah tanah air hanya sia-sia, jika sejarah yang diajar sewaktu di peringkat sekolah tidak tepat dan diputarbelitkan.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari, niat baik kerajaan itu harus dimulakan dengan memperbetulkan kesalahan fakta dalam buku teks sejarah itu sendiri, jika mahu keadaan menjadi lebih baik.

"Kalau tidak ada perubahan maka tidak ada maknalah. Sebab itu sejarah tidak diminati.

" Maknanya, kalau faktanya betul, tidak ada masalah pun. Tetapi oleh kerana (buku teks) sejarah itu sendiri begitu,tidak menarik minat sejarah pelajarsekolah. Jadi, dengan adanya perkara yang tidak betul,fakta yang tidak tepat dan sebagainya,ini menambahkan lagi kelemahan dalam subjek sejarah itu," kata Dr Aziz ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Dr Aziz mengulas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan mata pelajar Sejarah akan diperkenalkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) mulai tahun 2014.

Ia bertujuan memberi peluang kepada murid-murid memperbaiki keputusan dan berupaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas subjek itu akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus bermula 2013.

Kata Dr Aziz , kurangnya minat pelajar kepada subjek Sejarah mungkin kerana cara pengajaran yang tidak sistematik, di samping kurang penekanan dan berlakunya kesalahan fakta itu sendiri.

"Kalau betul sekalipun, tidak semestinya ia efektif tetapi kalau sudah tidak betul, apatah lagi. Itu akan menambahkan lagi penolakan atau pun tidak minatnya murid-murid kepada subjek Sejarah," tambah Dr Aziz lagi.

Lantaran itu, menurut Dr Aziz, perlu ada perubahan secara total dalam usaha memartabatkan subjek Sejarah di sekolah-sekolah agar segala usaha yang dibuat membuahkan hasil.

Justeru langkah pertama itu harus dimulakan dengan memperbetul dan menambah fakta yang tidak terkandung dalam buku teks Sejarah itu sendiri.

"Jadi kalau di peringkat sekolah lagi, sejarah tidak diajar dengan betul, kandungan mata pelajaran itu dipersoalkan, jadi itu menambahkan lagi masalah sedia ada," kata Aziz lagi.

Terdahulu seorang penulis buku, Dr Ranjit Singh Malhi yang juga bekas penasihat buku teks sejarah kepada Kementerian Pelajaran dalam wawancara bersama akhbar The Sun mendedahkan, buku teks sejarah yang digunapakai di sekolah-sekolah pada hari ini dibanjiri dengan kesilapan fakta.

Menurut Dr Ranjit, beliau pernah memaklumkan tentang kesalahan fakta tersebut kepada Kementerian Pelajaran, bagaimanapun ia ditolak oleh pegawai kementerian terbabit dan melabelkannya sebagai 'anti nasional'.

Pandangan dan pengalaman Dr Ranjit itu turut dipersetujui oleh beberapa penulis dan ahli akademik lain.

No comments: