Sunday, January 30, 2011

Ambil iktibar kebangkitan rakyat Mesir, Tunisia



SHAH ALAM 30 Jan.: Kemelut di Mesir dan Tunisia harus dijadikan iktibar sambil melahirkan rasa sedihnya terhadap despotisme(kuasa mutlak) yang diamalkan oleh para pemimpin negara-negara Islam.

Dalam ucapannya di seminar 'Critical Islam with Ziauddin Sardar(ZS)' di Kelana Jaya semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Indonesia dan Turki yang kini berjaya mengadaptasikan konsep demokrasi, negara-negara Arab lain jelas tidak mempedulikan hak asasi manusia yang sepatutnya dirasai oleh rakyatnya.

"Kenapa anda tidak mempunyai, tidak mengiktiraf kebebasan, hak asasi manusia, keadilan, kesetaraan jantina di dunia Islam? Terutamanya di dunia negara-negara Arab, kecuali Indonesia, yang berjaya mengubah dirinya mengamalkan demokrasi dengan penuh semangat, dan Turki. Di dalam dunia Arab, penafian hak-hak asas ini merupakan satu kewajipan mutlak," kata beliau dalam ucapannya.

Jelas beliau, kebanyakan cendekiawan Timur Tengah menganggapnya sebagai satu budaya kerana pemerintahan bercirikan despotisme atau satu kuasa mutlak merupakan perkara terpenting dalam sejarah tamadun Mesir di mana rakyat Mesir tidak lekang memuja para Firaun walaupun sedar kezaliman mereka.

Anwar berpandangan, warga Mesir kini seolah-olah cuba menyampaikan mesej bahawa Mesir memerlukan seorang Firaun moden bagi mengawal dan menangani rakyat Mesir.

"Ini merupakan satu hujah yang langsung tidak berasas kerana apa yang berlaku di Mesir sekarang, seperti yang berlaku di negara-negara Arab lain, ialah kerana para pemimpinnya yang memandang rendah warga negaranya. Mereka ini dinafikan hak asas yang mana dengan jelas diperuntukkan di dalam mana-mana perlembagaan," kata beliau lagi.

Sambil berseloroh beliau berkata beliau tidak langsung mengaitkan hujahnya dengan Malaysia kerana khuatir akan disiasat lagi oleh kerajaan Umno-BN dengan alasan kononnya berhubungan dengan pengganas antrabangsa.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

PAS juga meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

No comments: