Monday, January 10, 2011

Dah dua tahun, baru SPRM nak siasat

KTMB : SPRM Lambat Bertindak


SHAH ALAM 11 Jan. : Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail kecewa dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana lambat bertindak walaupun sudah dua tahun kes rasuah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dilaporkan.

SPRM menggeledah pejabat KTMB atas dakwaan pemberian tender yang 'mencurigakan' yang menyaksikan kontrak jutaan ringgit diberikan kepada syarikat yang tidak mempunyai 'kelayakan'.

"Perkara ini telah dibangkit banyak kali, baru kini SPRM ambil tindakkan, mengambarkan SPRM begitu lambat bertindak, maknanya untuk suatu yang bertaraf suruhanjaya berkaitan dengan salah laku rasuah mengambil masa dua tahun lebih untuk menyiasat ianya dianggap lemah dan kita mahu tahu juga apa yang menyebabkan kelemahan jentera SPRM ini, kekurangan kakitangan, kurang terlatih, kekurangan ilmu ataupun kerana kekangan politik ataupun mereka tidak bebas," katanya.

Azan ketika dihubungi Tv Selangor berkata, selain lambat bertindak, tindakbalas SPRM menggeledah Pejabat KTMB jelas mengesahkan dakwaan yang dibuat dua tahun lepas adalah berasas.

"Tindakkan SPRM ini mengambarkan dakwaan yang dibuat dua tahun dahulu adalah berasas, cuma SPRM lambat bertindak,sekarang SPRM kena menjawab persoalan ini, jika mereka memberi alasan mengambil masa untuk meneliti kes sebelum membuat tindakkan ia membuktikan SPRM adalah satu badan yang lemah.

"Kerana unit siasatan dalam apa-apa bidang mereka tidak boleh dilihat begitu berlengah-lengah kerana ia melibatkan dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang sudah tentu bileh dilarikan ataupun disembunyikan," katanya.

Terdahulu, pasukan penyiasat SPRM menyerbu pejabat KTMB di Kuala Lumpur dan menggeledah jabatan tendernya pada 14 Disember tahun lalu dan merampas beberapa dokumen utama.

Jumaat lalu, SPRM sekali lagi menyerbu pejabat KTMB untuk mendapatkan lebih banyak bukti. Menurut sumber, siasatan masih pada peringkat awal.

Projek tersebut melibatkan penyusunan semula sistem tiket di semua 56 stesen KTMB sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Sebuah firma tempatan dilaporkan memenangi kontrak itu dengan bidaan RM85 juta, meskipun terdapat tawaran pada harga yang lebih murah oleh syarikat-syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam sistem perkhidmatan KTMB.

Tender yang dikemukakan oleh lima syarikat yang lain yang disenarai-pendek pula tidak dinilai.

Dua syarikat dengan projek sekarang membabitkan sistem tiket juga ditolak meskipun mereka masing-masing menawarkan bidaan pada harga RM69.8 juta dan RM72.6 juta.

Tambahnya lagi, ekoran dari kes ini, berkemungkinan berkait rapat dengan Barisan Nasional untuk mengumpul dana menghadapi pemilihanraya akan datang.

"Ini perkara tradisi, bukan dalam kes ini sahaja, dalam Telekom, TNB, Syarikat Utiliti dan Syabas, di mana Syabas mengaku mereka membantu politik Umno dan semakin dekat dengan pilihanraya inilah aktiviti yang sering dilaksana untuk jana dana pilihanraya bagi pihak Umno-BN dan ini tidak dapat dinafikan kerana ia telah berlaku sekurang-kurangnya enam kali pilihanraya lepas," katanya.

No comments: