KUALA LUMPUR 10 Jan.: Polis enggan memberi lampu hijau kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia(HUKM) menjalankan bedah-siasat kedua ke atas Krishnan a/l Munusamy yang mati sewaktu dalam tahanan polis, 7 Januari lepas.
Meskipun dirayu ahli keluarga dan sahabat-handai mendiang, Polis Diraja Malaysai PDRM enggan menunaikan permohonan mereka yang curiga dengan kecederaan yang ditemui pada tubuh Krishnan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata beliau tidak dapat membenarkan bedah-siasat itu tanpa arahan dari Bukit Aman.
Kira-kira 50 orang diwakili peguam N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri, bersama-sama Pengarah Biro Aduan PKR S Manikavasagam, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR Khairul Anuar Zainuddin tampil ke Bukit Aman hari ini, bagi menyerahkan memorandum tuntutan itu.
" Seharusnya tidak ada masalah setuju atau tidak bersetuju dengan post-mortem kedua ini. Keluarga berhak untuk itu jika mereka tidak puas hati dengan hasil dari bedah siasat sebelum ini maka mereka harus diberikan sebuah post mortem kedua. Seharusnya tidak ada pertanyaan atau keberatan," kata N Surendran.
Krishnan, 36 tahun, seorang juruelektrik ditahan di Taman Miharja pada 3 Januari lalu disyaki terbabit dengan kegiatan najis dadah dan direman selama empat hari di Balai Polis Bukit Jalil.
Menurut saksi, mendiang dibawa ke hospital HUKM 6 Januari kemudian selepas mengadu sakit perut.
Krishnan diisytiharkan mati keesokan hari. Pihak hospital melaporkan mendiang mati kerana mengalami luka dalam perut.
Isteri mendiang Revathi a/p Perumal, 38, bagaimanapun menolak laporan itu sebagai mencurigakan.
" Selepas meninggal, bedah siasat dibuat tanpa izin saya. Siapa yang benarkan hospital buat post-mortem? Saya ada enam orang anak, siapa mau tanggung mereka sekarang ini?," soal beliau.
Satu laporan polis difailkan di Balai Polis Jinjang.
Menurut Revathi, tiada seorang dari ahli keluarga yang mengetahui suaminya ditahan polis. Mereka hanya mengetahui mengenai kematian Krishnan dari saksi kejadian, Sargunan.
Di bilik mayat, Revathi terkejut melihat kesan koyak pada rusuk mendiang, disertai lebam pada mata, dan belakang tubuh yang kesan dipijak.
"Dia bawa ke belakang, mereka pukul. Lebam-lebam luka pada belakang badan. Lepas itu polis berikan ubat. Ubat apa yang mereka bagi, kita tidak tahu. Siapa izinkan mereka bagi ubat pun kita tak tahu. Saya ada saksi, dan saya boleh bawa saksi ini ke mahkamah mana-mana pun. sekarang siapa mau jawab?," katanya lagi.
Peguam keluarga mengatakan saksi kini berada dalam perlindungan mereka atas alasan keselamatan. Butiran terperinci kejadian itu akan diumumkan saksi dalam masa terdekat. Tv Selangor difahamkan kejadian mati membabitkan pihak polis di negara meningkat 500 peratus dalam masa sesingkat 3 tahun.
" Dua minggu lalu, Sivam mati di Balai Polis Sentul. Minggu lepas, Krishnan. Selepas Kugan, setiap minggu ada sahaja yang mati dalam tempat yang paling selamat, dalam lokap, ada sahaja yang mati," tambah Manikavasagam pula.
No comments:
Post a Comment