Wednesday, January 19, 2011

Jatuh kerana facebook dan wikileaks

Presiden Tunisia mangsa pertama Wikileaks?

Artikel : "Ketika artikel ini ditulis, media antarabangsa melaporkan tentera Tunisia baru sahaja melancarkan serangan ke atas penyokong bekas presiden Zine El Abidine Ben Ali yang digulingkan. Sebahagian penyokong berkenaan bertahan di dalam istana presiden itu.
Presiden sendiri melarikan diri ke Arab Saudi pada 16 Januari lalu selepas siri bantahan rakyat sejak beberapa minggu. Beliau tumbang di tangan rakyat setelah memerintah kira-kira 23 tahun.

Ada beberapa sisi menarik boleh ditulis mengenai kisah tumbangnya seorang presiden ini. Namun sisi paling menarik ialah kejatuhannya dikaitkan oleh banyak pihak dengan peranan Wikileaks dan Facebook.

Menerusi media baru seperti Wikileaks dan Facebook, Presiden Zine El Abidine Ben digambarkan kepada rakyatnya sebagai seorang penguasa kuku besi, mengamalkan rasuah serta penyelewengan lain. Ini diburukkan lagi oleh faktor peningkatan kadar pengangguran di negara itu.


Menurut telegraph.co.uk, bekas presiden Tunisia itu mungkin mangsa pertama Wikileaks. Maklumat yang didedahkan Wikileaks mengenai kabel diplomatik kedutaan Amerika Syarikat berhubung kehidupan mewah presiden itu serta empayar perniagaan di bawah kawalan keluarganya dan kekebalan anak pinaknya daripada tindakan undang-undang, disebarluaskan menerus email dan media baru lain (internet) ke seluruh negara walaupun tahap sistem penapisan adalah amat ketat. Malah, beberapa minggu sebelum kejatuhannya, presiden itu menyekat laman Wikileaks daripada dapat diakses oleh rakyatnya.

Pendedahan itu menimbulkan kemarahan rakyat. Kemarah itu akhirnya meledak berikutan insiden seorang pemuda bertindak membakar dirinya kerana protes terhadap tindakan merampas barang-barang perniagaannya oleh pihak berkuasa yang mendakwanya tiada lesen, sedangkan perniagaan itu adalah satu-satunya sumber rezekinya..

Thedailybeast.com pula melaporkan bahawa laman sosial Facebook dan Twitter digunakan sebagai sumber utama oleh rakyat terbanyak yang menentang pentadbiran Zine El Abidine Ben.

Antara yang popular digunakan bagi menyebarkan penentangan terhadap penguasa Tunisia itu ialah laman Twitter ini – http://twitter.com/SBZ_news

Sementara itu, neontommy.com turut merakamkan perkara sama. Web terbabit menyifatkan Zine al-Abidine Ben Ali jatuh kerana WikiLeaks dan Facebook.

Ternyata, ini adalah ‘sejarah baru yang ditulis dengan dakwat teknologi’. Dengan teknologi terkini, maklumat tidak lagi dapat disekat-sekat, disembunyi dan dimanipulasi oleh pemerintah.

Jika beberapa dekad dahulu, penguasa dapat ‘bermain-main’ dengan maklumat dan fakta bagi mengabui mata rakyat terbanyak, kini maklumat boleh bergerak menyelinap masuk ke segenap ruang rumah, malah di dalam poket orang ramai, menerusi pelbagai gajet serta saluran penyiaran yang tidak lagi mampu dikawal sepenuhnya oleh elit pemerintah.

Malah fungsi serta pengaruh media tradisional (media cetak dan elektronik) yang dahulunya dapat dikawal secara total oleh kerajaan serta dianggap sebagai kekuatan keempat (fourth estate) di dalam sesebuah negara, kini mula luntur. Ia mungkin akan perlahan-lahan dikalahkan oleh media baru – internet – yang pusat siarannya boleh sahaja hanya daripada sebuah rumah usang serta tidak memerlukan sebarang lesen, permit atau kelulusan untuk membuat apa juga siaran..

No comments: