Sunday, January 9, 2011

Jurugambar Bernama pun kena juga

Dipukul Dan Digari Polis Bantuan, Jurugambar Buat Laporan Polis


KUALA LUMPUR 10 Jan.: Seorang jurugambar membuat laporan polis terhadap beberapa anggota polis bantuan yang didakwanya telah memukul, menggari serta mengugutnya berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS), di sini semalam.

Hairul Nizam Baharin, 37, dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata beliau diperlakukan sedemikian selepas menjalankan tugas mengambil gambar di persekitaran terminal tersebut kira-kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Sekumpulan lelaki yang memakai ves polis bantuan meminta saya memberhentikan motosikal selepas saya selesai ambil gambar di situ, tapi saya enggan kerana tidak tahu tujuan mereka," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.

Hairul Nizam berkata beliau bagaimanapun terpaksa memberhentikan motosikalnya apabila kumpulan itu terus mengekori dan menghalangnya daripada meneruskan perjalanan.

"Mereka kemudian merampas kunci motosikal saya dan apabila saya tanya kenapa mereka cuma diam. Seorang daripada mereka minta kad pengenalan namun saya enggan serahkan kerana tidak tahu tujuan mereka.

"Polis berpangkat sarjan itu kemudian menyentuh badan saya dan saya kata padanya yang dia tidak boleh menyentuh saya. Dia kemudian bertindak menumbuk
saya," katanya.

Hairul Nizam berkata kepalanya juga diketuk dengan topi keledar meskipun berulang kali meminta dilepaskan.

"Salah seorang daripada mereka kemudian mengarahkan saya digari sebelum dibawa ke balai polis TBS-BTS. Di situ anggota yang bertugas mengarahkan gari saya dibuka dan saya dibebaskan," katanya.

Hairul Nizam berkata tindakan kumpulan polis bantuan itu adalah tidak profesional selain memperlakukannya seperti penjenayah sedangkan beliau hanya menjalankan tugas yang diarah majikannya.- BERNAMA

No comments: