SHAH ALAM 10 Jan. : Pertemuan lima minit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional bukti kerajaan kini mengalami krisis keyakinan.
Malah menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertemuan terbaru Perdana Menteri dengan Ahli Parlimen Umno merupakan kali pertama dalam sejarah.
"Mengapa dia begitu terdesak nak buat semua? Kerana dia (Najib) sudah tidak ada keyakinan. Umno sekarang dilanda malapetaka besar. Inilah kali pertama PM jumpa Ahli Parlimen seorang 5 minit. Nak buat apa 5 minit? Bagi Panadol bolehlah. Mana nak rawat pesakit dalam masa 5 minit," ujar Anwar ketika menyampaikan ucapan pada majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana anjuran PAS semalam.
Ketua Umum PKR itu juga menyifatkan kejelasan hal ini dapat dilihat melalui mainan dan agenda politik mereka yang seolah-olah obses dengan kuasa.
Majlis ini mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 10 ribu hadirin menyerikan majlis ini.
Anwar turut mengulas mengenai cubaan berterusan Umno untuk memujuk PAS bergabung dengan Barisan Nasional yang dianggap beliau ibarat 'bermimpi di siang hari'.
"Yang dia boleh hanya cuba pujuk ahli Parlimen, beli beberapa orang. Dia berjaya dengan beberapa Keadilan dan DAP, dia tak berjaya dengan PAS. Cuba melunakkan. Kalau boleh. Najib sampai bermimpi, kalau lah boleh Tok Guru Nik Aziz, Haji Hadi Awang bersama dia semula, mudahlah dia. Mimpilah awak (Najib) di siang hari," kata Anwar.
Malah permainan Umno menggunakan media seperti Utusan Malaysia, RTM dan TV3 membuka lagi ruang spekulasi mengenai betapa terdesaknya Umno untuk menghalang rakyat dari mendapat kebenaran.
"Gambaran umum kita di media teruk. Tapi sebenarnya Umno ini sudah habis fikir. Cuba fikir apa lagi dia hendak buat? Dia guna segala mungkin, saya sudah turun naik mahkamah. Diserang pula di surat khabar, pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Hadi Awang serta pemimpin DAP. Kuat serangan dalam Utusan
Malaysia sampai orang taknak baca. Tengok TV 3 dah tak ada cerita lain dah. Dah habis ikhtiar dia (Najib)," tambah Anwar lagi.
Malah menurut Anwar, Umno akan menjadi tidak relevan jika media tidak lagi dikawal oleh pihak tertentu dan tidak pernah memberi ruang kepada Pakatan Rakyat menjawab segala tohmahan yang dilemparkan.
"Saudara ingat Umno kuat, tidak, saudara fikir Umno yakin, tidak. Saudara tahu di Sabak Bernam, Kuala Selangor, mana ada mesyuarat Umno? Umno masih hidup kerana mengapi-apikan sentimen Melayu. Kalau kita boleh turun jawab, Umno sudah tamat!," tegas Anwar lagi.
No comments:
Post a Comment