SHAH ALAM, 16 Jan. : "Saya yakin, selepas Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tiada nanti, umat Islam akan menggelarkan dia mujaddid abad ini," kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad.
Dr Dzulkefli berkata demikian dalam program forum 'Bedah Buku Tokoh-tokoh Besar Gerakan Islam Dalam Sejarah' yang diadakan di Masjid Saujana Utama dekat sini malam semalam.
Penulis buku itu, Saari Sungib yang juga Adun Hulu Klang turut serta di samping moderatornya adalah Zulkifli Sulong, Ketua Editor Harakahdaily.
Nik Aziz adalah penulis pandangan sisi untuk buku ini.
Bagi Dr Dzulkefli, kehebatan yang ditunjukkan Nik Aziz adalah berjaya menyesuaikan tuntutan Islam dengan tuntutan semasa iaitu dalam konteks hubungan antara Islam dan orang bukan Islam.
"Mungkin orang tidak sedar sekarang tetapi saya yakin selepas dia (Nik Aziz) tiada nanti baru orang akan sedar Tok Guru sebenarnya mujaddin abad ini," kata beliau.
Sementara itu, di majlis bersama bloggers yang dibuat di sebuah hotel dekat ibu negara, Nik Aziz terus memperingatkan betapa Islam telah tertinggal dalam mengendalikan satu perkara iaitu orang bukan Islam.
"Di Kelantan, kita bina pondok, bina sekolah tetapi orang Cina yang tinggal di sebelah masjid Muhammadi Kota Bharu terus tidak Islam sejak lebih 20 tahun dahulu hingga kini.
"Apa tidaknya, anak-anak mereka hendak bermain di kawasan tanah lapang di masjid pun kita larang, kita kata haram. Padahal Rasulullah dahulu, orang kafir ini kencing dalam masjid pun dia tidak halau mereka," katanya.
Menurut Nik Aziz, beliau telah mengambil pendekatan berbeza.
"Hatta dalam majlis kenduri kahwin anak bungsu saya baru-baru ini, saya jemput 40 sami untuk sama-sama meraikan majlis itu. Apa orang nak kata," kata beliau di majlis itu.
Bagi Dr Dzulkifli, Tuan Guru Nik Aziz terkenal kerana kesungguhan beliau untuk meluaskan sayap Islan ini kepada orang bukan Islam dalam konteks sekarang.
Kalau dahulu, dakwah Islam ini disebarkan kepada orang luar dari kawasan Islam melalui dakwah dan juga peperangan, tetapi orang Islam sekarang seolah-olah meminggirkan orang bukan Islam.
Antaranya dengan cara menghalang mereka memasuki masjid dan majlis orang Islam.
"Dalam dunia moden ini, Tok Guru Nik Aziz antara tokoh yang membuat pendekatan untuk merapati orang bukan Islam ini," kata Dr Dzulkefli.
No comments:
Post a Comment