Pemuda PAS Kelantan bantah 499 pengundi pos
KETEREH, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Kelantan membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pendaftaran nama isteri anggota tentera di Kem Desa Pahlawan.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, seramai 499 nama telah dikenalpasti sebagai isteri anggota tentera yang didaftarkan sebagi pengundi pos dan ini amat mendukacitakan dan dikesali.
Beliau ditemui di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam ketika mengiringi 50 pembantah senarai nama tersebut.
Turut hadir Penyelia Dun Ketereh, Nik Mahadi Nik Mahmood, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Hafiz Musa dan Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari.
Hari ini, senarai nama tersebut telah dibicarakan di hadapan Pengarah SPR Negeri Kelantan Mohammad Mahmud dan sehingga tengah hari ini lebih 200 nama telah dibantah.
(Gambar: Pemuda menunjukkan nama yang dibantah.)
Proses pendengaran bantahan akan diadakan sehingga esok.
“Kita membantah tindakan SPR ini dan khususnya Dun Kok Lanas telah bertindak pantas dan tindakan memasukkan nama isteri-isteri anggota tentera ini adalah tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka sendiri,” ujar beliau.
Abdul Latif juga berkata tindakan membawa mereka ke dalam sistem undi pos amat tidak munasabah kerana mereka bukannya terlibat dengan tugas menjaga keselamatan negara.
“Suasana yang terdesak ini menyebabkan BN telah menggunakan kuasa mereka dengan berpakat bersama SPR untuk memasukkan nama sebegini kedalam undi pos dan ini sudah pasti menjadi satu keadaan yang akan memburukkan sistem demokrasi,” katanya lagi.
Abdul Latiff juga berkata tindakan bantahan terhadap undi pos seperti itujuga melibatkan Dun Manek Urai dan Parlimen Pengkalan Chepa.
Beliau juga menyentuh tindakan SPR yang ingin mencadangkan penggunaan undi proksi bagi memberi kuasa kepada mana-mana individu yang tidak boleh keluar mengundi agar diberi kuasa kepada pihak lain.
“SPR perlu mengkaji sepenuhnya penggunaan sistem ini dan memberi penjelasan kepada semua pihak terlebih dahulu.
“Bagi Pemuda PAS Kelantan tindakan ini adalah untuk memudahkan pihak tertentu mendapat undi bagi mereka,” kata beliau lagi.
No comments:
Post a Comment