Sunday, January 9, 2011

Tulisan Awang Selamat bukti Umno makin kritikal

Mahfuz : Umno Kian Terdesak 'Peralat' Utusan Kaburi Mata Rakyat



KUALA LUMPUR 9 Jan.: Datuk Mahfuz Omar menyifatkan parti Umno kini berada dalam keadaan terdesak sehingga menggunakan Utusan Malaysia bagi mengaburi mata rakyat dalam isu hubungan antara parti politik dan monarki di Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tuduhan mengenai PKR dan DAP anti sultan dan mahu menjadikan Malaysia sebuah republik dalam kolum Awang Selamat hari ini membelakangi hakikat sebenar cadangan yang cuba dilakukan Pakatan Rakyat.

"Kenyataan yang dibuat Awang Selamat ini menunjukkan Umno dalam keadaan kritikal apabila cuba menonjolkan dan menaikkan isu bahawa PKR dan DAP sebagai anti sistem kesultanan dalam negara kita ini dan cuba mengaitkan isu Khusrin seolah mengkhianati tapi pada hakikatnya kita cuba mengembalikan kuasa lantikan kepada Sultan atas nasihat Menteri Besar," katanya kepada Tv Selangor.

Dalam kolum hari ini, Awang mendakwa Khalid dengan didalangi oleh DAP mahu mencetuskan krisis perlembagaan di Malaysia serta PKR dan DAP sengaja memainkan isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi kerana mahu mengalihkan perhatian daripada kegawatan dalam PKR serta kelemahan kerajaan negeri.

Mahfuz dengan tegas menyatakan bahawa Rancangan Pemindaan Undang Tubuh Negeri Selangor Pakatan Rakyat dan Akta Pemulihan Demokrasi bertujuan menguatkan kuasa Sultan dan Yang Di-Pertuan Agong yang telah ditarik oleh Umno pada tahun 1993.

"Ini bukan isu nak menjadikan Malaysia sebagai Republik, ini isu yang kita nak mengangkat kuasa Raja kembali. Kita bukan nak buang Raja, kita nak kukuhkan kuasa Raja yang bukannya diperalat oleh pemimpin Umno seperti sekarang ini," jelasnya.

Sentimen sama dikongsi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini.

Melalui kenyataan medianya, Kit Siang menganggap Utusan sebagai punca perpecahan masyarakat dalam negara ini dan menjadi duri dalam daging slogan 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Apa yang dinyatakan Awang Selamat adalah berteraskan pembohongan. Dalam tujuh perenggang artikel 'Iktibar Kemelut Selangor', Awang Selamat telah menyatakan lebih dari tujuh pembohongan dalam usaha mereka menyemai kebencian dan cubaan merosakkan hubungan di antara Parti Pakatan Rakyat dalam kerajaan Selangor," tegas beliau.

Beliau turut menuntut agar Najib mengambil tindakan di atas hal ini serta agar kabinet BN tidak lagi berdiam diri.

"Jika Najib dan pemimpin Umno serta pemimpin komponen Barisan Nasional yang lain samada dari MCA, Gerakan, MIC atau Sabah dan Sarawak, terus menutup mata dengan penipuan ini, Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, dan taraf hidup, sepatutnya tahu kredibiliti slogan 1 Malaysia Najib di mata dunia," kata Kit Siang lagi.

2 comments:

goodlistener said...

mamfus mampus....mp tak berapa cerdik jadi aku malas nak komen ...takut nanti aku pun di kattakan bodoh cam dia

Anonymous said...

goodlistener, mu la bodoh. yang mu tulis tu komen la bodoh. Kecik tak mahu nak mampus, besaq2 habiskan boreh