Wednesday, January 26, 2011

Umno pakar berbohong, MCA ikut sama bohong

Alah bohong, bohonglah lagi

http://marhaen.info/images/no2bn/bohong_250.jpgArtikel : BOHONG sememangnya perangai keji. Ia dilarang agama. Mereka yang berbohong juga memiliki salah satu daripada sifat munafik. Tapi nampaknya berbohong kini sudah menjadi resam orang politik. Tak kiralah mereka yang sudah lama berpolitik, baru menceburi alam politik ataupun sedang cuba-cuba menjadi orang politik.

Dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang yang sedang berjalan kini, pembohongan juga sudah menjadi 'komoditi politik' paling laku di pasaran. Pihak yang pandai berbohong pula mempunyai kemahiran menuduh lawannya yang bercakap benar sebagai berbohong.

Salah satu contoh pembohongan dilakukan anak Presiden MCA sendiri yang kini mewarisi kerusi Parlimen bapanya, Dr Chua Soi Lek yang anti-Islam dan mempunyai masalah moral. Ahli Parlimen Labis itu, Chua Tee Yong @ Chua Jr menuduh calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang pemilik kedai kopi berbangsa Cina kerana menjual arak. Tuduhan Chua Jr itu dilaporkan akhbar China Press.

Yakin bahawa Normala tidak mengungkapkan kata-kata itu kepada mana-mana peniaga Cina ketika berkempen, PAS mencabar Chua Jr supaya membuktikan tuduhannya bagi mengelakkan tindakan mahkamah. Chua Jr ketika bercakap kepada sebuah portal berita tetap bertegas dengan kenyataannya itu tetapi enggan menamakan pemilik kedai berkenaan.

Bagaimanapun pada petang hari yang sama, beliau dilaporkan The Malaysian Insider sebagai berkata,” Sudah tentu, saya tidak boleh menamakan kedai itu, pemiliknya tidak mahu dikenali”.

Namun apabila diasak wartawan Malaysiakini di sebuah majlis ketika kempen pilihan raya kecil Tenang di Labis, Chua Jr menukar pendirian hampir 180 darjah dengan berkata: "Semasa berkempen, ada pengundi tanya sama ada penjualan arak akan terjejas jika calon PAS dipilih, saya jawab mungkin.”

Begitulah mudahnya Chua Jr memutarbelitkan kenyataan. Dalam usaha menutup pembohongannya, beliau sanggup lagi berbohong dengan mendakwa kononnya 'mungkin' penjualan arak akan terjejas di Tenang jika calon PAS terpilih sebagai Adun!

Mungkin hanya mereka yang benar-benar jahil saja yang terpengaruh dengan dakwaan itu kerana di Kelantan dan Kedah, negeri yang diperintah PAS, kaum Cina bebas menjual dan meminum arak di tempat-tempat yang dilesenkan sebagaimana negeri-negeri lain yang diperintah BN.

Bagaimanapun Chua Jr pasti menerima padah. PAS Johor akan memberikan beliau notis saman fitnah jika masih gagal memberikan bukti bagi menyokong tuduhannya itu.

Itu cerita ahli politik yang baru berkecimpung dalam arena politik atas bantuan bapanya, Dr Chua Soi Lek. Ada satu lagi insiden pembohongan dalam PRK Tenang. Ia membabitkan orang yang baru hendak berpolitik iaitu calon BN , Mohd Azahar Ibrahim.

Ketika berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat, Azhar atau lebih mesra dipanggil 'Tok Ai' didakwa telah secara cuai melelong tanah seorang penduduk tanpa pengetahuan beliau. Tindakannya itu telah menganiayai pemilik tanah tersebut dan menjejaskan individu yang menang dalam lelongan tanah itu. Tok Ai tanpa berfikir panjang telah menafikan maklumat yang diterima PAS dan mendakwa bahawa kes tanah itu 'sudah selesai'.

Bagaimanapun PAS melalui Pengarah PRK Dun Tenang, Salahuddin Ayub menyifatkan Tok Ai telah berbohong kerana kes berkenaan hanya akan disebut di Mahkamah Tinggi Muar pada 7 Februari 2011. Pihak yang disenaraikan sebagai defendan ialah Tok Ai sendiri, Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Segamat dan Kerajaan Johor. Nilai tuntutan gantirugi adalah RM1.5 juta sedangkan tanah seluas lapan ekar itu dilelong Tok Ai dengan harga RM70,000.

"Kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar (berbohong) kepada para pengundi dan partinya sendiri,” ujar Salahuddin.

Menurut Salahuddin, kes ini bukanlah satu serangan peribadi tetapi membabitkan soal reputasi dan intergriti calon. Bagaimana mungkin seorang calon yang senang dan mudah bercakap bohong mampu menjadi wakil rakyat yang baik? Atau adakah mungkin berbohong kini diiktiraf sebagai satu skill atau kemahiran yang perlu ada pada seorang politikus atau ahli politik.

Itu jika ahli politik berbohong. Bagaimana pula jika pegawai kerajaan pun berbohong? Tunggu kemunculan siri akan datang...

No comments: