Wednesday, February 9, 2011

20 tahun bela rakyat mana sama 20 tahun tindas rakyat

Sikap Utusan Diselar Cuba Buruk Pimpinan PR


SHAH ALAM 9 Feb.: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyelar tindakan Utusan Malaysia yang terus-terusan menggunakan taktik licik untuk mengaburi mata rakyat.

Kali ini editorial akhbar itu cuba mengaitkan Presiden Mesir Hosni Mubarak dengan kepimpinan lama dalam Pakatan Rakyat seperti Menteri Besar Kelantan, Datuk Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan beberapa lagi pimpinan dalam Pakatan Rakyat yang disifatkan sebagai lama dalam pentadbiran.

" Dia (Utusan) cuba untuk mencari sesuatu yang yang dia boleh kaitkan dengan faktor lama Hosni Mubarak memegang tampuk pemerintahan sedangkan apa yang berlaku bukan masalah lama atau pun singkat. Pemimpin lama memerintah pun kalau dia adil, itu akan terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat," katanya.

Bahkan bingkisan editorial Utusan itu yang ditulis oleh Zaini Hassan itu turut disanggah oleh pimpinan baru dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin menyifatkan tonggak kepimpinan dalam Pakatan Rakyat sebagai tokoh yang dikenang kerana karismatik dalam pentadbirannya malah disanjung tinggi oleh masyarakat.

Oleh yang demikian katanya, nama-nama seperti Lim Kit Siang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Karpal Singh,hatta Anwar Ibrahim masih relevan sehingga ke hari ini.

Mengambil contoh kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mentadbir negeri itu lebih 20 tahun, ada sesuatu yang ada pada Nik Aziz, namun tidak dimiliki oleh pemimpin yang disifatkan berjaya seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

" Isunya ialah kekejaman pemerintahan di bawah Tun Dr Mahathir, kalau hendak dibandingkan dengan pentadbiran Tok Guru Nik Aziz, umpama langit dengan bumi," kata Shamsul.

" Isu keadilan sosial, isu memberikan pulangan yang sama rata kepada seluruh rakyat, memberikan ruang kepada rakyat pelbagai kaum untuk mengamalkan agama mereka, mengamalkan fahaman politik secara terbuka, itu tidak berlaku ketika di zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri," katanya.

Laman editorial Utusan hari ini cuba mengaitkan apa yang berlaku di Mesir dengan senario politik di Malaysia dan melabelkan pemimpin ulong seperti Nik Aziz sebagai tidak waras sekiranya terus bertanding pada PRU ke 13.

Malah penulis dengan sinis berkata, Nik Aziz masih "berakar" di kerusinya walaupun setelah lebih 20 tahun masa berlalu.

" Walaupun 20 tahun itu ramai yang mempertikaikan tetapi pendekatan yang lebih jujur itu melihat dan menilai keberkesanan mereka sebagai pemimpin di dalam sesebuah negara.

" Ini perkara yang harus dinilai oleh rakyat. Pendekatan kepimpinan yang bercorak lebih adil dan lebih wajar, memberikan keterbukaan kepada rakyat, sudah tentu itulah yang diterima oleh rakyat Malaysia," katanya.

No comments: