Tuesday, February 8, 2011

Pelajar Malaysia cerita detik cemas kenderaan ditembak

Undur atau mati!

http://www.nationalpost.com/news/world/4184277.bin?size=620x465KUCHING: Undur atau mati! – Itulah pilihan diberikan anggota tentera Mesir kepada tiga pelajar perempuan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, selepas kenderaan dinaiki mereka ditembak ketika cuba memasuki sempadan Iskandariah-Kaherah pada hari kedua perintah berkurung dikeluarkan di seluruh Mesir, baru-baru ini.

Sehari sebelum perintah berkurung dikeluarkan, ketiga-tiga pelajar berasal dari Sarawak, Zuliyarana Fauzi, 23; Siti Sarah Dahari, 23 dan Shahida Rashidi, 25, mengikut rakan mereka melawat perpustakaan di Universiti Iskandariah.

Ketiga-tiga mereka kemudian terpaksa berlindung tiga hari di rumah rakan sebelum berpindah ke Rumah Sabah di Iskandariah. Mereka tiba di sini, pagi kelmarin, dengan menumpang pesawat yang membawa pelajar tajaan Yayasan Sabah.

Menceritakan detik cemas itu, Zuliyarana berkata, mereka bercadang ke Iskandariah selama tiga hari dan tidak menyangka akan terperangkap selepas laluan kereta api dan lebuh raya ditutup.

"Kami nekad untuk pulang kerana semua pakaian dan kelengkapan lain berada di asrama Rumah Sarawak, Kaherah, namun sebaik tiba di kawasan tol berdekatan sempadan pada jam 10 pagi, kenderaan kami ditembak.

“Kami semua terpaksa tunduk selepas menyedari kenderaan ditembak sebelum beberapa anggota tentera mengarahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota dinaiki tujuh penumpang segera berpatah balik ke Iskandariah jika mahu selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Asajaya di sini, semalam.

Apabila memeriksa kenderaan itu kemudian, mereka menemui tiga kesan tembakan pada bahagian lampu, sisi kenderaan serta pintu penumpang, namun mujur kenderaan masih mampu bergerak dan tiba di Iskandariah.

Siti Sarah yang berasal dari Kota Samarahan, berkata mereka panik ketika kenderaan ditembak menyebabkan mereka bertiga menjadi trauma sehingga tidak boleh melelapkan mata pada setiap malam sepanjang tempoh perintah berkurung.


Berita Harian/-

No comments: