Risalah Balik Pulau: Pulau Pinang saman Adun Umno, Utusan
KUALA LUMPUR, 15 Feb :Kerajaan Pulau Pinang Pakatan Rakyat (PR) memutuskan untuk menyaman Ahli Dewan Undangan Negeri Umno kerusi Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia kerana terus membuat fitnah mengenai isu risalah My Balik Pulau kononnya lupa sejarah dan menghina orang Melayu.Sehubungan itu, Ketua Menterinya Lim Guan Eng (gambar) berkata, beliau telah melantik firma guaman Karpal Singh & Co untuk menguruskan saman fitnah ke atas kedua-dua pihak berkenaan.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melantik syarikat guaman Karpal Singh untuk keluarkan saman malu atas Adun Umno Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia dengan fitnah mereka pada 2 Februari lalu bertajuk bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengedarkan buku risalah My Balik Pulau.
“Dalam laporan bertajuk Lupa Sejarah, Hina Melayu, kerajaan negeri PR Pulau Pinang didakwa mengedarkan risalah yang memperlekehkan sumbangan dan peranan orang Melayu di Balik Pulau,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Lim berkata, Utusan Malaysia milik Umno telah terus mangadu-dombakan isu itu dengan laporan susulan pada hari berikutnya yang berbentuk menghasut sentimen perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya mahu meminggirkan sumbangan orang Melayu.
“Umno, Farid dan Utusan Malaysia telah meludah ke langit kerana yang keluarkan risalah My Balik Pulau tidak lain, tidak bukan adalah kerajaan BN negeri yang lama,” katanya, Lim berkata, risalah itu diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum era 8 Mac 2008 dan sebelum PR mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
“Maka Farid patut tahu kerana beliau adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri lama. Lagipun beberapa penyokong kuat Umno beliau adalah penyumbang ke atas keluaran My Balik Pulau ini,” katanya lagi.
Lim menambah, sungguhpun kerajaan negeri telah menjelaskan perkara itu dan meminta Farid menarik balik dan meminta maaf atas sifat perkauman antibukan Melayu dengan pembohongan dan fitnah yang menganiayai kerajaan negeri Pulau Pinang atas sesuatu yang bukan salahnya, Farid enggan buat demikian.
Sebaliknya kata beliau, Utusan Malaysia meneruskan laporan palsu yang mendakwa kerajaan negeri mengeluarkan risalah My Balik Pulau yang sebenarnya dikeluarkan oleh Umno dan kerajaan persekutuan.
“Oleh itu kerajaan negeri telah membuat keputusan pada mesyuarat Exco minggu lepas untuk saman malu Adun Umno ini kerana telah menggembar-gemburkan risalah My Balik Pulau dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk ‘lupa sejarah, hina Melayu’,” kata Lim.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan berkata, penasihat undang-undang negeri telah menasihatkan agar beliau sebagai Ketua Menteri mengeluarkan saman malu untuk mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Dalam keghairahan buat serangan hentam-keromo ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang semua fakta dan kebenaran dilupai dan dibelakangkan.
“Sungguhpun yang bersalah adalah BN/Umno dan kerajaan persekutuan sendiri, serangan bertubi-tubi dijalankan ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang dimangsakan sebagai kembiri hitam,” kata beliau lagi.
Lim menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dan menanggung lagi kesalahan orang lain, khususnya Umno yang “jahat seribu jahat ini.”
“Politik rasis dan benci-membenci Umno dan BN untuk menutup skandal rasuah mereka mestilah dilawan berhabis-habisan, yang jelas sebagai reaksi terhadap pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah Tan Sri Koh Tsu Koon yang serahkan Pulau Jerejak habis kepada UDA,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment