Monday, May 9, 2011

HRP Janji Sokong PR Jika Kaum India Dibela



BANGSAR 10 MEI :Parti Hak Asasi Rakyat (HRF) bersedia menganggotai Pakatan Rakyat atau mengadakan kerjasama politik dengan gagasan itu untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Setiausaha Agungnya, P. Uthayakumar.

Dalam wawancara dengan TVSelangor, Uthayakumar berkata pihaknya bagaimanapun mahukan gagasan itu berjanji membela kaum India dan bukan berjanji kosong seperti Umno-Barisan Nasional.

"Kita memang mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat. Impian kita adalah mahu tumbangkan kerajaan pimpinan UMNO-BN di Putrajaya,” kata Uthyakumar dalam wawancara khas dengan TvSelangor.

“Kami mahukan perubahan dalam kerajaan kerana kerajaan Umno memerintah negara terus selama 50 tahun. Ini membuatkan mereka menjadi terlalu kuat dan keadaan ini membuatkan mereka menjadi anggkuh, jadi ada baiknya penamatan kerajaan UMNO di Putrajaya,"tambah beliau.

Pengumuman Uthayakumar itu penting berikutan persepsi umum bahawa pengundi India yang menolak BN pada pilihanraya umum 2008 kini mula kembali kepada parti itu.

HRP dilihat sebagai “pengganti tulen’ Hindraf yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia ekoran tunjuk perasaan besar-besaran yang dianjurkan olehnya pada November 2007.

Sokongan HRP untuk Pakatan Rakyat dilihat berupaya memberi kelebihan untuk memastikan sokongan kaum India tetap kepada gagasan pembangkang itu.

Uthayakumar menegaskan sokongan pihaknya tertakluk kepada PR memberi jaminan tidak akan membelakangkan nasib kaum India yang sering dirujuk sebagai golongan paling terpinggir di negara ini.

“Kami juga sanggup dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri dan Pimpinan Pakatan Rakyat menerajui kepimpinan di Putrajaya dengan syarat kami boleh turut serta dalam perjuangan ini sebagai 'internal check and balance' (pengimbang politik) dalam Pakatan Rakyat,” tambah beliau.

HRP yang diasaskan oleh Uthayakumar kini menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk didafarkan sebagai sebuah parti politik. Keputusan permohonan itu masih belum diberikan walapun ia dibuat beberapa tahun lalu.

Penangguhan sedemikian oleh ROS adalah biasa dalm kes-kes pemohon yang dilihat tidak cenderung menyokong Umno-Barisan Nasional. Contohnya Pakatan Rakyat sendiri belum diluluskan sebagai sebuah parti politik walaupun mengemukakan permohonan tahun lalu.

Uthayakumar adalah antara pengasas pergerakan Hindraf yang mencetuskan kemarahan masyarakat India terhadap Barisan Nasional kerana melaksanakan pelbagai dasar dan polisi yang menindas kaum itu sejak kemerdekaan.

Demostrasi besar-besaran anjuran Hindraf di Kuala Lumpur pada November 2007 berkesudahan dengan lima pemimpinnya termasuk Uthyakumar di penjarakan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Semalam genap dua tahun Uthyakumar dan rakan-rakannya dibebaskan setelah mereka melancarkan mogok lapar ketika dalam tahanan di Kamunting, Taiping.

Abang Uthayakumar, Wayanamoorthy, masih berada dalam buangan di London dan tidak dibenarkan kembali ke Malaysia.

Uthyakakumar berkata masa depan kaum India di negara ini akan terus malap di bawah teraju Umno-Barisan Nasional sungguhpun Perdana Menteri Najib Tun Razak cuba mengambil hati pengundi dengan pelbagai "pembaharuan kosmetik".

Ini termasuk menghias semula pusat perniagaan kaum itu di Brickfields, Kuala Lumpur dan menghadiri majlis-majlis perayaan kaum itu.

"Jadi mereka (kaum India) tidak tahu kedudukan sebenar Hindraf dan HRP ini adakah disebelah BN ataupun Pakatan. Bagi saya pimpinan BN khususnya Datuk Seri Najib mengambil kesempatan keatas kecelaruan ini dengan menguar-uarkan bahawa masyarakat india telah kembali menyokong BN,” kata beliau,

“Kami sudah cuba berbincang dengan Umno. Mereka tak mahu faham. Perjuangan (kami) adalah terhadap penganiayaan, penindasan dan ketidakadilan, itu yang buat kami terus berjuang,” tambah Uthyakumar.

Menurut Uthayakumar pihaknya terbuka kepada rundingan dengan Pakatan Rakyat dan bersedia untuk memupuk kerjasama politik yang boleh memperbaiki nasib masyarakat kaum India.

"Bagi saya peluang terbaik HRP ialah bergabung dengan Pakatan Rakyat sebagai suara ke empat. Tapi itu terpulang kepada Pakatan Rakyat," kata beliau.

Minggu lalu Mahkamah mengarahkan ROS dan dua yang lain bagi memberikan keputusan mengenai permohonannya mendaftarkan parti berkenaan sebagai sebuah parti politik.

Keputusan itu memaksa Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin Hussein dan ROS membuat keputusan dalam tempoh dua minggu ini mengenai nasib permohonan HRP.

Uthayakumar berkata HRP mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di kalangan masyarakat India, yang kebanyakannya dari golongan berpendapatan rendah dan hidup di luar atau pun pinggiran bandar.

Justeru beliau menyatakan betapa Pakatan juga bakal mendapat faedah dan menawan pengundi dari golongan tersebut jika mereka bekerjasama dalam pilihan raya Umum akan datang.

Uthayakumar berkata pihaknya mensasarkan 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi DUN yang mempunyai peratus pengundi kaum India yang tinggi dan boleh disandarkan kepada HRP.

Justeru penggabungan atau kerjasama dengan Pakatan adalah amat penting dalam membantu menewaskan hegemoni setengah abad Barisan Nasional.

"Kalaupun tidak diterima sebagai komponen, kami minta DAP, PAS dan PKR beri laluan di 15 Parlimen dan 38 DUN supaya tiada pertandingan tiga penjuru.Kami juga mempunyai tugas kami dalam perjuangan dan peranan kami dalam menumbangkan BN adalah dari projek 15:38 ini," kata beliau.

Uthayakumar menafikan tuduhan-tuduhan Umno, kononnya beliau adalah anti-Melayu dan anti Islam.

Peguam dan aktivis masyarakat itu menegaskan beliau mendokong Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Namun yang dibantahnya adalah perlaksanaan dasar-dasar oleh Umno yang hanya menguntungkan mereka yang menyokong parti pemerintah.

Uthayakumar berkata sungguhpun negara sudah lima dekad merdeka, masyarakat India masih terpinggir dalam peluang pendidikan, pekerjaaan di sektor awam, dan peluang pekerjaan.

Dalam wawancara itu, Uthayakumar menyifatkan bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu sebagai pemimpin yang “luar biasa”.

“Saya katakan luar biasa kerana hampir setiap pilihanraya beliau meraih sokongan bulat pengundi kaum India untuk BN walaupun masyarakat India mendapat begitu sedikit walaupun memberi sokongan begitu kuat kepada BN,” kata beliau.

Bagaimanapun selepas Himpunan Hindraf November 2007 diadakan, kaum India tidak gentar lagi untuk berhadapan dengan parti pemerintah.

"Perhimpunan Aman Hindraf pada 25 November 2007 adalah manifestasi ataupun perasaan terpendam selama 50 tahun telah meletup. Masyarakat India sekarang telahpun berani mempersoal Kerajaan UMNO dan telah mula memperjuangkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia," tegas beliau.

No comments: