KUALA LUMPUR, 30 Jun: AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar) berkata, memakai baju kuning berlambang Bersih adalah tidak haram kerana tiada mana undang-undang yang melarang pemakaian baju kuning.
“Yang salah dan haram adalah tidak memakai baju dan seluar di khalayak ramai,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, polis yang menangkap mereka yang memakai baju kuning berlambang Bersih telah bertindak di luar batas undang-undang dan boleh disaman kerana melakukan tangkapan yang tidak sah.
Jelasnya lagi, Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.
“Menangkap mana mana orang yang memakai baju Bersih sedangkan memakai baju tersebut tidak dilarang oleh mana-mana undang-undang adalah melibatkan pelucutan kebebasan seseorang dan yang demikian ianya melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya yang juga pengamal undang-undang.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada portal Malaysikini semalam yang melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyokong tindakan polis menangkap mereka yang memakai baju kuning berlabelkan Bersih.
Ini kerana ujar Hishamuddin adalah haram memakai baju kuning tersebut.
Kata Hanipa, bagi Umno dan Hishammuddin janganlah terlalu paranoid dengan warna.
Menurutnya, jika satu waktu dulu Umno takut dengan warna hijau Petronas kerana warna hijau Petronas dilihat sama dengan warna bendera PAS, kini warna kuning pula yang ditakuti.
“Sampai bila Umno nak takut dengan warna?” soalnya.
Mengenai hujah Hishamuddin adalah jika aktiviti Bersih adalah haram, maka memakai baju kuning Bersih juga adalah haram, beliau bekata malang sungguh bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai menteri yang ada kelulusan undang-undang tetapi jahil undang-undang.
“Saya mengesyorkan kepada Hishammuddin jika pun kamu benci sangat dengan Bersih janganlah sampai menggadaikan maruah dan integriti kamu.
“Ada masanya elok juga untuk kita menyembunyikan kejahilan kita,” ujarnya.
Beliau berkata, haram atau halal sesuatu perkara baik dari segi agama atau undang-undang adalah berdasarkan dalil dan bukannya berdasarkan kenyataan menteri.
Mungkin, katanya Hishammuddin boleh tunjukkan kepada kita di bawah peruntukan mana dan di dalam undang-undang mana memakai baju kuning berlambang Bersih adalah satu kesalahan.
“Jika kita menerima hujah Hishamuddin memakai baju kuning Bersih adalah haram kerana aktiviti Bersih adalah haram maka secara logiknya jika seseorang terlibat dengan berlumba motor secara haram, maka segala peralatan yang beliau pakai termasuklah helmet, seluar, jacket kulit dan motor yang beliau tunggang adalah kesemuanya haram,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment