Thursday, June 30, 2011

Baju SPR yang dipakai Wan Ahmad jelas berbau hapak UMNO

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgR_yclA__yfd44SeeAZJm28LwmO3wcAsegDr8n_99uQ1kXG6uxUtePXbSIB_IDn6TrSjW7TSozzdHYGVymUWLVeIik7W7QDO-Dpkucg6IM0jQkLIPF-5cBhsRHeWbassevVMN-gzGuyusk/s320/spr+love+umno.jpgKUALA LUMPUR, 1 Julai: Adalah malang apabila Datuk Wan Ahmad Wan Omar gagal memperlihatkan profesionalisme sebagai penjawat awam yang seharusnya bersifat berkecuali.

“Ketaatan membuta-tuli beliau kepada Umno jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada government of the day dengan taat kepada governing party,” kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali (gambar).

Beliau merujuk kepada kenyataan Wan Ahmad selaku Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilaporkan oleh laman portal Malaysiakini.com semalam bertajuk "SPR: Ambiga diperalat, BERSIH kian kusut".

Menurut laporan tersebut, Wan Ahmad mendakwa bahawa Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreevenasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik pembangkang untuk membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Azmin berkata, kenyataan Wan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab dan menzahirkan watak sebenar beliau yang selama ini dilihat sebagai alat kepada pimpinan Umno dan sistem yang rosak.

Katanya, kenyataan sebegini tidak menggambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

Beliau turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, pilihan raya yang bebas dan adil tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui siapakah yang akan menang dalam sesuatu pilihan raya.

Sebaliknya, kata beliau apabila Wan Ahmad menzahirkan kenyataannya bahawa Barisan Nasional semakin kuat, maka timbul persoalan apakah beliau sudah merancang sesuatu bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional.

“Kalau inilah peranan yang dicatur oleh Wan Ahmad, maka pilihan raya di Malaysia sememangnya tidak lagi bebas dan adil,” katanya.

Tambahnya, Wan Ahmad seharusnya faham dan menghayati peranan SPR yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

Menurutnya, asas utama dalam mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil ialah daftar pemilih yang bersih untuk menjamin tidak berlaku pengundian berganda oleh seorang pemilih berdaftar termasuk undi pos.

“Saya telah menyahut cabaran Wan Ahmad dan telah membuktikan secara berfakta bahawa Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011 adalah daftar pemilih yang terkotor dalam sejarah pilihan raya dan dakwaan saya telah diakui benar oleh SPR dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria bertarikh 24 Jun 2011m,” katanya.

Katanya lagi, Wan Ahmad harus memikul tanggungjawab itu dan meletakkan jawatan serta merta kerana beliau tidak lagi punyai maruah dan kredibiliti untuk memimpin SPR.

Wan Ahmad juga, ujar beliau lagi sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih.

Jelasnya, lapan tuntutan Bersih iaitu pembersihan senarai pengundi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor adalah bertujuan untuk menyuburkan demokrasi dalam negara dan memperkukuhkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

“Tuntutan-tuntutan ini sewajarnya dipandang serius dan positif oleh SPR dalam usaha untuk memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus, bebas dan adil,” ujarnya.

Beliau menambah, SPR harus berlapang dada untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat demi memperbaiki imej dan kredibiliti SPR yang dilihat sebagai tidak berwibawa dan bersikap berat sebelah.

Katanya, PKR dan Pakatan Rakyat senantiasa mendukung sebarang usaha yang proaktif demi rakyat dan demi menjamin satu sistem demokrasi yang menjanjikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

“Sehubungan dengan itu, saya mewakili Parti Keadilan Rakyat dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR.

“Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik Umno dan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13,” tegasnya.

No comments: