SHAH ALAM 22 JUN : Penggunaan sistem biometrik atau imbasan ibu jari pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang tidak praktikal dan ia perlu diperincikan lagi, kata jurucakap MAFREL.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam yang berkata kaedah itu mampu mengesan pengundian berganda, selain menjamin ketelusan.
Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu memperjelaskan setiap cadangan pembaharuan yang ingin dilaksanakan sebagai jaminan bahawa ia benar-benar berfungsi dengan penuh efektif dan holistik.
Menurutnya, kaedah biometrik memerlukan masa untuk diselenggara memandangkan sistem tersebut masih baru diguna di Malaysia dan mempunyai banyak kelemahan.
Malah katanya, penggunaan dakwat kekal adalah lebih praktikal berbanding kaedah biometrik yang melibatkan kos tinggi.
" SPR ada cadangan itu dan ini, tetapi ia tidak dihebahkan (diperincikan) dan tidak melibatkan pihak-pihak berkepentingan. Sejauh mana sistem biometrik mampu dikongsi bagi diperlihatkan dari segi pelan tindakan kepada parti-parti politik yang ada, kepada pemantau pilihanraya, para akademik dan sebagainya," soalnya.
"Kita tidak tahu secara jelas adakah sistem biometrik ini berfungsi, adakah wujud tindakan-tindakan kawalan dan adakah sistem semakan boleh dilakukan untuk sistem ini, dan tentunya ia akan timbulkan tanda tanya," katanya kepada Tvselangor.
Isnin lalu, SPR mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.
Beliau berkata demikian bagi mengulas antara lapan perkara yang dituntut BERSIH 2.0 dalam perhimpunan besar-besarnya pada 9 Julai depan bagi memastikan pilihan raya yang telus dan bersih dengan menggunakan dakwat kekal.
Syed Ibrahim berkata, tindakan SPR memperkenalkan pelbagai cadangan mahupun sistem dikhuatiri tidak akan kekal lama, terutama dari aspek keberkesanaan dan jaminan pilihanraya yang bersih dan adil benar-benar mampu dilaksanakan.
"Inilah hakikatnya yang berlaku kepada SPR, mereka bertindak, mungkin buat atau mungkin tidak. Tetapi ia tidak dihebahkan kepada pihak yang terlibat, mungkin juga tidak akan dibuat langsung dan hanya berdasarkan cadangan sahaja. Malah ia hanya akan menimbulkan pelbagai keraguan kepada masyarakat yang mungkin akan menyebabkan tanggapan negatif kepada SPR" katanya.
Dalam pada itu, Exco Selangor Rodziah Ismail menegaskan tiada alasan yang mampu menolak penggunaan dakwat kekal sebagai mekanisme terbaik dalam memastikan setiap pilihan raya dijalankan secara bersih dan adil.
Malah katanya, penggunan dakwat kekal amat popular di beberapa negara kerana terbukti efektif dan menjimatkan.
" Pengunaan dakwat kekal melibatkan kos yang rendah berbanding penggunaan sistem biometrik. Jadi pada saya, cukuplah...jangan bazirkan wang rakyat kerana dalam tempoh sehari pilihanraya itu ia melibatkan kos berbilion ringgit yang kononnya untuk pilihanraya yang bersih," ujarnya.
Tegasnya, tindakan SPR dengan memperkenalkan sistem Boiometrik dilihat hanya untuk melengahkan tuntutan rakyat yang dahagakan pilihanraya yang bersih.
Ujarnya, jika SPR benar-benar serius dalam perkara itu ia perlu berlaku adil dengan mengambil perhatian diatas keluhan semua pihak termasuk parti-parti politik yang sedia ada.
" SPR mahu pilihanraya bersih untuk PRU ke 13 akan datang, jadi dalam konteks macam mana sekalipun ia perlu bersihkan daftar pemilih, bersihkan pada rakyat datang mengundi, ambil perhatian keluhan-keluhan dari parti yang ada, perbetulkan SPR dan SPR tidak boleh berat sebelah," tegasnya.
Tambah Rodziah, sebelum SPR mahu menggunapakai sistem biometrik ini suruhanjaya itu juga perlu mengambil kira kemudahan elektrik dan kemampuan sistem berkenaan dilaksanakan terutama di kawasan luar bandar terutama pedalaman Sabah dan Sarawak.
Ia katanya mungkin menyebabkan berlaku kesesakan dan mengganggu proses pengundian.
Selain itu, katanya, kenyataan Aziz menunjukkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berjaya menekan SPR dalam memastikan pilihan raya telus.
No comments:
Post a Comment