Wednesday, June 22, 2011

Kelayakan Olimpik 2012: Peluang 50-50 bagi Malaysia dan Lubnan

http://wowberita.org/wp-content/uploads/2011/06/skuad-olimpik-malaysia-2011.jpgPengendali pasukan Olimpik Lubnan, Samir Saad menyifatkan peluang kedua-dua pasukan masih seimbang dan berkelebihan layak ke pusingan ketiga.

Namun Samir begitu optimis yakin mencapai kemenangan menjelang pertemuan timbal balik dengan skuad Olimpik Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Saya sifatkan peluang masih 50-50 bagi kedua-dua pasukan. Tetapi, kami hadir ke sini untuk memburu kemenangan dan berazam menunjukkan permainan terbaik.

“Kita ada kelebihan kerana jika seri kami tetap layak ke peringkat kumpulan Kelayakan Sukan Olimpik London 2012,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan cuaca di negara ini adalah situasi normal dan tidak menjadi halangan buat anak buahnya melakukan latihan seterusnya beraksi dengan cemerlang pada pertemuan sebenar nanti.

Pasukan Asia Barat itu kini menduduki ranking 178 dunia dan belum pernah beraksi dalam mana-mana kejohanan Sukan Olimpik.

Skuad Olimpik Negara perlu berhati-hati

Bagi pengendali skuad Olimpik Malaysia pula, Ong Kim Swee memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak terpedaya dengan taktikal yang bakal diterjemahkan Lubnan malam ini.

Katanya, dari segi permainan Lubnan memiliki corak hantaran pendek yang boleh mengelirukan pemain negara.

“Kami harus berhati-hati dengan taktikal yang diterapkan skuad kendalian Samir Saad malam ini.

“Kami tidak boleh melakukan serangan secara membuta-tuli dengan mengabaikan barisan pertahanan kerana mampu mengundang padah jika lambat menutup ruang,” katanya.

Pada pertemuan pertama di Beirut, Ahad lalu, Malaysia mengikat pasukan negara Arab itu dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Strategi baru

Mengikut Ong Kim Swee, pasukan Olimpik Negara perlu kepada strategi baru untuk berhadapan Lubnan mala mini.

“Kita perlukan strategi berlainan bagi menghadapi Lubnan berbanding pada perlawanan pertama di Beirut, Ahad lalu.

Percaturan itu dilakukan Ong Kim Swee bagi memastikan misi skuad kendaliannya layak ke pusingan ketiga kejohanan Olimpik 2012.

Menurutnya, pada pertemuan pertama Malaysia mempunyai beberapa peluang terhidang, namun gagal disempurnakan barisan serangan negara.

“Ini adalah masa terbaik kami mendapatkan peluang menggegar jaring seterusnya mencari gol awal bagi mengurangkan tekanan.

“Saya yakin jika pemain menerapkan disiplin tinggi dalam permainan tidak mustahil kita mampu mencipta kejutan,” katanya.

Sementara itu, pertahanan negara, Mahali Jasuli terpaksa diketepikan berikutan mengutip dua kad kuning dalam perlawanan terdahulu.

No comments: