SHAH ALAM 18 OGOS : Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melengah-lengah isu siasatan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu berhubung laporan murtadnya hingga menimbulkan polemik umum, tidak mendatangkan kebaikan kepada semua.
Malah, katanya, ia diburukkan lagi apabila pada waktu yang sama, ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.
“Kini, rakyat tengah menanti tindakan JAIS, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
“Kita sedar dalam sebarang tindakan kita perlu berhemah dan tepat dalam tindakan, kerana bukan soal kita tidak pertahan aqidah ummah, tetapi tindakan yang terburu-buru hanya menjerumus kita kepada perangkap yang sengaja dipasang oleh Umno dan merosakkan lagi nama baik agama Islam yang kini sudah tercacat cela akibat perbuatan Umno selama ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Semalam, satu laporan yang didakwa ditulis oleh seorang pegawai kanan JAIS berhubung pemeriksaan di premis gereja itu telah disebarkan di internet, dengan beberapa blogger mendesak mengapa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih belum menyatakan pendirian berhubung kontroversi tersebut.
Laporan itu juga menyenaraikan nama penuh dan kad pengenalan 12 orang Islam yang dikatakan hadir di majlis makan malam itu.
Menurut Tuan Ibrahim, timbul beberapa persoalan berhubung reaksi dan tindakan Umno sejurus selepas cetusan isu JAIS menyiasat gereja yang beliau sifatkan sebagai amat mencurigakan.
Katanya, yang paling aneh adalah semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar dan dipelopori oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh JAIS, sedangkan bukti berkenaan adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya didedahkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.
Tegasnya, ini termasuklah kertas soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan JAIS yang sepatutnya dipersembahkan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu.
“Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini semakin hangat diperkatakan terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini.
“Dengan ledakan sedemikian di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini. Kenapa perkara ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?” soal Tuan Ibrahim.
Selain itu, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata lebih mencurigakan lagi ialah kepantasan media arus perdana milik Umno dan BN yang terus melonjakkan isu itu dengan membuat serangan ke atas menteri besar Selangor dan kerajaan negeri.
Begitu juga demonstrasi yang dilakukan oleh Senator Umno Mohamad Ezam Mohd Nor yang diadakan di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk membawa penyapu tandas, mangkuk tandas untuk dihantar ke pejabat menteri besar.
“Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses Kristianisasi yang dilakukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?” soal Tuan Ibrahim lagi.
No comments:
Post a Comment