KUALA LUMPUR 7 OGOS : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyerahkan satu surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar segera memutuskan desakan pemimpin parti itu supaya sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu penduduk tetap (PR) berubah menjadi warganegara sekaligus didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.
Baru-baru ini isu daftar menjadi hangat ekoran penemuan beberapa bukti jelas dalam bentuk cetakan, status kerakyatan sebelum dan selepas pertukaran di laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berjaya dikesan PAS Selangor pada awal bulan lalu juga perlu diambil perhatian.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Najib untuk memanggil sidang Parlimen tergempar itu.
Surat rasmi itu akan diserahkan esok di Parlimen dan akan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.
“Kita beri tempoh tujuh hari untuk adakan sidang tergempar Parlimen.
“Kita mahu isu pemastautin tetap bertukar kepada warganegara dengan cepat dibahaskan sebelum kita membuat tindakan selanjutnya,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Tambahnya lagi, tindakan itu akan mengancam keselamatan negara.
Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar”.
Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.
Dalam pada itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak untuk memastikan pilihan raya umum ke 13 akan datang dapat diadakan dengan bersih dan adil.
“Kita akan jumpa dengan siapa sahaja untuk pastikan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.
Ujar Abdul Hadi, tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap bertujuan untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum ke-13.
“Kita bincang mengenai daftar pemilih yang kita mahu ia dibersihkan terutamanya yang melibatkan pendatang asing, yang mana ia melibatkan jentera kerajaan untuk memberikan kemenangan kepada BN,” katanya.
No comments:
Post a Comment