Thursday, September 22, 2011

PENDAKWAAN TERPILIH!!! Mat Sabu kena, Zainal Keling tak kena

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pakatan Rakyat mendakwa Datuk Seri Najib Razak tidak mengotakan janji untuk meningkatkan tahap kebebasan awam apabila mendakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung kenyataannya menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai “berniat jahat” dan merupakan pencabulan terhadap janji-janji pembaharuan yang diumumkan Najib minggu lalu.


“Kita juga prihatin apa yang berlaku di Mahkamah Sesyen Butterworth, keputusan kerajaan untuk mendakwa Mat Sabu (gambar) bercanggah dengan apa yang diwar-warkan Najib sebelum ini.



“Kerajaan mengatakan mahu mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) namun pendakwaan ke atas Mat Sabu adalah rakus dan berniat jahat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Pagi tadi, Mohamad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth kerana dituduh membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, 21 Ogos lalu.

Mohamad, 57, dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap pertuduhan.

Dia didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 21 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam ) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes.

Tambah Anwar, Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS-PKR-DAP menentang gerakan komunis.

“Pendirian kita tentang komunis tidak berbangkit kerana kita menentang gerakan komunis militan.

“Kita membantah pendakwaan terpilih Mat Sabu,” katanya.

No comments: