Thursday, February 2, 2012

BIAQ BETUL JAMIL KHIR!!! Lepas kebas duit zakat, kebas duit Yayasan Taqwa pula

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/03/jamil-khir-baharom.jpgKUALA LUMPUR, 2 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengecam keras tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa menggunakan wang Yayasan Taqwa untuk melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah.

Tindakan tersebut ternyata amat aneh kerana Yayasan Taqwa adalah sebuah agensi yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dananya adalah dari peruntukan MAIWP.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, disebabkan yayasan tersebut berada di bawah MAIWP, wang tersebut sepatutnya digunakan untuk kepentingan penduduk di Wilayah Persekutuan.

Beliau mendakwa, namun Jamil ternyata telah melakukan tindakan aneh apabila telah membawa dana dari MAIWP ke kawasan Jerai dengan mengadakan beberapa majlis untuk memberikan bantuan kepada penduduk di kawasan itu.

Katanya, pada hal bantuan dari MAIWP amat susah untuk diperolehi oleh penduduk di kawasan Wilayah Persekutuan sendiri, tetapi kini Jamil tergamak membawa keluar dana yayasan tersebut ke luar kawasan MAIWP khususnya ke Jerai.

"Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, sehingga sekarang sudah lima majlis bantuan kepada penduduk di kawasan Jerai yang menggunakan wang dari Yayasan Taqwa yang diadakan oleh Datuk Seri Jamil Khir.

"Dari majlis-majlis yang diadakan itu bermakna sudah cukup banyak wang dari peruntukkan MAIWP yang sepatutnya digunakan di Wilayah Persekutuan dibawa ke Jerai," dakwanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Dana dari Yayasan Taqwa, menurutnya, diyakini datangnya dari wang zakat dan peruntukan MAIWP dan tindakan Jamil itu dibimbangi turut membabitkan penyalahgunaan wang zakat.

"Datuk Seri Jamil Khir tidak sepatutnya bertindak seperti itu. Beliau sepatutnya menggunakan wang tersebut dengan betul dengan menyalurkannya kepada mereka yang lebih berhak menerimanya di Wilayah Persekutuan sendiri," tegasnya.

Sebelum ini, Jamil juga turut dikaitkan dengan penyalahgunaan wang zakat dengan menggunakannya bagi kepentingan peribadinya untuk pembiayaan kes mahkamah yang melibatkannya.

Dengan tindakannya yang menggunakan wang yayasan tersebut bagi memberikan bantuan kepada penduduk Jerai, tindakan-tindakannya kini semakin diragui banyak pihak.

Lebih diragui lagi, dakwa Nasie, apabila bantuan-bantuan yang diberikan oleh beliau kepada penduduk Jerai itu diyakini mempunyai kaitan dengan kepentingan peribadinya sendiri.

No comments: