Saturday, March 10, 2012

TERKINI!!! Setiausaha Agung UMNO nafi terima surat letak jawatan Shahrizat

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhdYyq1As9q6i5I0T1WjvUGfM2bCcBlUBtY-WCj826QmZz7MhJrRgj9PdLCoJcKSwYQAFbxnYC915KOECwydD2aZ5r866UZAUcpxKHlTS_Nvb9qCTry_W0wjOQweSSiHKdEASTQmMRq2v0/s400/tengku-adnan-mansor-umno2.jpgPUTRAJAYA - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku AdnanTengku Mansor hari ini menafikan bahawa pihaknya telah menerima surat perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno.

"Tiada... tiada (surat perletakan jawatan) setahu saya. Saya ada bercakap dengan dia (Shahrizat) pada Isnin lepas tetapi (kandungan) tak boleh cakap (dedah)," katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada Umno sudah menerima surat perletakan jawatan Shahrizat.


Sebelum itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya melancarkan Mini Karnival Puteri Umno di Presint 9, di sini hari ini.


Isu perletakan jawatan Shahrizat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Pergerakan Wanita Umno timbul apabila beliau dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail yang terbabit dalam projek lembu daging di Gemas, Negeri Sembilan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mengumumkan kedudukan Shahrizat secara teratur pada waktu dan masa yang sesuai.

Ditanya sekiranya Shahrizat meletak jawatan, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata: "Kita terimalah."

"Parti akan terus bergerak sekiranya beliau (Shahrizat) meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita. Kita ada Naib Ketua Wanita dan Jawatankuasa Wanita Pusat yang boleh bergerak. Dalam parti, tiada individu yang akan menjadi jaguh kerana kita mengamalkan konsep bermuzakarah," katanya.

Apabila ditanya sama ada Shahrizat akan memberi implikasi kepada BN, khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-13, Tengku Adnan berkata individu harus sedar apa yang harus dibuat demi kepentingan parti.

"Sebagai seorang Ketua Pergerakan Wanita Umno, seorang pemimpin yang matang, beliau seharusnya berfikir. Adakah beliau membawa mudarat kepada parti? Beliau mesti memutuskannya sendiri. Jika ya, saya berpendapat beliau perlu berundur,"katanya.

"Ini terpulang kepada diri sendiri. Beliau (Shahrizat) menang sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno kerana dipilih dan bukan dilantik manakala jawatan sebagai Menteri merupakan hak mutlak Perdana Menteri untuk membuat keputusan,"katanya.

Shahrizat yang dilantik sebagai Senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti menasihati Shahrizat agar melepaskan jawatan untuk mengelakkan dirinya menjadi bebanan kepada BN, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta agar 'jangan terlalu sayang kepada jawatan".

No comments: