Oleh: V. Sivakumar
UMNO
dan ‘rasism’ tidak boleh dipisahkan. Politik UMNO adalah politik
perkauman. Tanpa isu perkauman, UMNO tidak tahu berpolitik.
Pemimpin-pemimpin UMNO menggunakan perkauman sebagai senjata untuk
menimbulkan salah faham dan permusuhan antara kaum di negara ini.
UMNO
menggunakan sentimen perkauman untuk meraih undi daripada orang-orang
Melayu. Ini adalah permainan politik kotor kerana mewujudkan ketegangan
antara kaum di negara ini.
Peristiwa yang berlaku di Parlimen hari ini sungguh menyedihkan
apabila Ahli Parlimen BN Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz mahu Pengerusi
Bersama Bersih Datuk S.Ambiga ‘digantung’ kerana didakwanya sebagai
seorang pengkhianat.
Perkara ini tidak patut disebut oleh seorang ahli parlimen. Beliau
tidak boleh dan tidak patut berhujah di parlimen dengan bahasa yang
boleh menyinggung perasaan seseorang individu atau satu kaum tertentu.
Imuniti untuk berucap di parlimen telah disalah gunakan oleh beliau.
Tindakan beliau memalukan Parlimen Malaysia.
Kenyataan beliau pastinya mempunyai niat perkauman. Beliau mahu Datuk
S. Ambiga ‘digantung’ semata-mata kerana dia seorang wanita India. Ini
merupakan satu penghinaan kepada keseluruhan masyarakat India dan kaum
ibu di negara ini. Rakyat Malaysia tidak patut memaafkan orang seperti
ini. Mereka perlu dihukum melalui peti undi dalam PRU13.
MIC mahu UMNO berhenti mencemuh Datuk S. Ambiga. MIC sudah berasa
takut dan ragu kerana hilang lebih banyak undi orang-orang India
terutamanya kaum ibu kerana tindakan-tindakan UMNO yang keterlaluan.
Datuk S. Ambiga telah melalui penghinaan dan cemuhan yang melampau
daripada orang-orang UNMO dan segelintir NGO yang tidak
bertanggungjawab.
MIC hanya mampu memberi teguran lembut kepada UMNO ibarat menyurat di
atas air. UMNO tidak akan menghormati pemimpin-pemimpin MIC yang sudah
pasti telah kehilangan sokongan masyarakat India.
UMNO tidak peduli
terhadap MIC dan undi orang-orang India di negara ini. Itulah sebabnya
mereka seringkali menghina kaum India di negara ini. Pemimpin-pemimpin
UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya
bersandiwara menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kaum India.
Kalau MIC banar-benar berani, saya mencabar pemimpin-pemimpinnya
membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Muhamad
Aziz yang mengeluarkan kenyataan yang sensitif di parlimen hari ini.
Jika tidak, MIC harus mengaku bahawa parti itu adalah boneka UMNO dulu,
sekarang dan selama-lamanya. Rakyat akan memastikan MIC akan menggulung
tikar bersama-sama dengan UMNO dalam PRU13 nanti.
No comments:
Post a Comment